Jumaat, 18 Mac 2011

SITUASI: BURUNG

Hari ini saya menonton televisyen dan melihat burung pandai barcakap. Percayakah anda bahawa burung mampu berbahasa? Sebagai contoh, burung murai, burung Kakak Tua dan terdapai beberapa jenis burung lagi yang pandai berkata-kata.

Terdapat satu artikel berkenaan isu burung yang pandai berkata-kata. Menurut jurnal tersebut, sebenarnya burung tidak pandai berbahasa, tetapi boleh berkata-kata sebab burung tersebut diajar untuk berkata-kata. Berdasarakan teori pelaziman, sesuatu kebiasaan mampu dipelajari kerana pembelajaran boleh dilakukan melalui peniruan. Maksudnya apabila burung tersebut diajar dengan kerap untuk berkata-kata maka burung tersebut cenderung untuk meniru kata-kata yang diajar.

Selain itu, burung juga mempunyai kelebihan yang dikurniakan Allah. Menurut saintis, burung tersebut mempunyai lidah yang lembut. Oleh sebab itu, burung tersebut pandai meniru kata-kata manusia tetapi bukan berbahasa. Hal ini dapat dibuktikan apabila haiwan tersebut langsung tidak faham bahasa yang dituturkan.

Saya cuba kaitkan burung tersebut dengan amalan manusia pada masa kini. Terdapat manusia yang cenderung memelihara burung sebagai pembantu di dalam rumah. Bukan tugas burung tersebut sebagai tukang masak, tetapi sebagai penyambut tetamu. Adakah anda fikir itu sesuatu yang wajar sebagai tanda menghormati tetamu yang hadir?

Sebagai contoh, bagi orang Islam, bunyi sahaja salam diberi sambil pintu diketuk, burung tersebut yang menyahut “selamat datang”, “welcome”, atau “hello”, “hai”. Seharusnya salam yang diberi disambut dengan sebaiknya, bukan dengan sahutan burung. Mungkin anda mempunyai pendapat yang berbeza, tetapi pada saya itu adalah satu amalan yang tidak baik.

Kesimpulannya, kita mempunyai adab yang sangat dititikberatkan, misalnya adab menyambut tetamu seperti yang saya terangkan tadi. Oleh itu, seharusnya kita menghargai adab tersebut kerana adab itu merupakan ajaran Islam yang harus kita ikuti. Penggunaan burung sebagai penyambut tetamu pada hemat saya adalah sama sekali tidak wajar.


“KALIMAH AKAL : SALAM PERIBADI ORANG YANG BERADAB”


Ahad, 13 Mac 2011

SITUASI: BAHASA BAKU

Percayakah rakan-rakan bahawa pengucapan dengan menggunakan bahasa baku mampu membangkit pelbagai rasa dalam diri kita? Saya akan tunjukkan bagaimana penggunaan bahasa baku itu mampu membangkitkan pelbagai rasa seperti perasaan patriotik dan sebagainya. Di bawah ini saya tunjukkan sebuah sajak yang dikarang oleh Usman Awang pada tahun 1979:

TAJUK : GURU O GURU
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Trengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang di apungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat. 

Berdasarkan sajak di atas cuba sahaja anda baca dengan menggunakan 2 cara iaitu dengan menggunakan bahasa baku dan juga bahasa tuturan harian atau dikenali juga bahasa pasar. Bacaan secara bahasa pasar yang saya maksudkan adalah bunyi ‘a’ menjadi ‘e’ yang sangat ketara apabila ‘a’ tersebut hadir di hujung sesuatu perkataan. Misalnya:
  1. Setia menjadi *setie*
  2. Miliknya menjadi *miliknye*
  3. Segala menjadi *segale*
  4. Dewasa menjadi *dewase*
Berdasarkan bacaan sajak secara baku dan pasar tadi, yang manakah lebih terkesan terhadap perasaan anda? Setujukah anda jika saya katakan bahawa pembacaan yang menggunakan bahasa baku lebih terkesan. Perasaan cinta akan kerjaya guru pasti mampu diserap dalam jiwa pembaca mahupun pendengar.

Oleh hal yang demikian, usaha pembakuan bahasa adalah sangat wajar diaplikasikan. Dengan terlaksananya pembakuan bahasa maka usaha keras Dewan Bahasa dan Pustaka untuk  memperkembangkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang diguna dalam perhubungan luas pasti dapat dicapai.


“KALIMAH AKAL : BAKU PEMBANGKIT RASA”


SITUASI: BAHASA PERLAMBANGAN


Bangun sahaja dari tidur saya terpandang jalur gemilang atau bendera yang tergantung di dinding bilik saya. Terfikir sejenak, bagaimana saya mengetahui makna di sebalik bendera itu, bendera yang menjadi asas penyatuan negeri serta masyarakat di Malaysia ini. Jika dilihat pada bendera, yang ada hanya 14 jalur melintang yang berwarna merah dan putih, ada bulan dan bintang yang berwarna kuning di dalam segi empat yang berwarna biru.
      
Dari sudut semantik atau makna, sungguhpun tiada penerangan pada bendera tersebut, namun kita masih faham akan makna bendera itu kerana terdapat lambang-lambang yang membawa maksud tertentu. Sifat lambang adalah konvensional dan berbeza dengan sifat tanda iaitu alamiah atau semula jadi, serta isyarat iaitu sifatnya disengajakan. Berikut merupakan penerangan kepada lambang-lambang yang terdapat dalam bendera Malaysia:
  1. 14 jalur merah dan putih merupakan lambang keanggotaan yang sama iaitu 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan.
  2. Anak bulan melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
  3. Bintang yang berbucu 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan.
  4. Warna biru tua di atas sebelah kiri melambangkan perpaduan rakyat Malaysia.
  5. Warna kuning pada anak bulan dan bintang melambangkan warna Diraja bagi duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
  6. Warna merah melambangkan sifat gagah dan berani menghadapi cabaran. 
  7. Warna putih melambangkan keluhuran budi.

 Sifat lambang yang konvensional menyebabkan kita hanya mampu mengetahui maksud lambang tersebut selepas kita mempelajarinya sama ada secara formal atau sebaliknya. Tidak mungkin kita dapat memahami makna lambang itu secara semula jadi.
    
Oleh sebab lambang-lambang tersebut mampu memberi maksud tertentu terhadap sesuatu perkara, maka lambang juga diangkat sebagai salah satu daripada ciri bahasa. Melalui lambang-lambang itulah kita hidup berasaskan konsep 1 Malaysia. Justeru, hargai dan hormatilah bendera Malaysia kerana di sebalik lambang-lambang yang membentuk bendera itu tersirat pelbagai falsafah yang menjadi pegangan bagi rakyat Malaysia.


 “KALIMAH AKAL : LAMBANG SEBAGAI CIRI BAHASA”


SITUASI: FACEBOOK

Saya cuba sampaikan situasi ini dengan sedikit kelainan, ulasan saya berdasarkan sajak yang saya garap sendiri. Mungkin tidak seindah sasterawan tapi punyai hikmah disebalik “sekawan kawan” yang bergelar manusia. Sajak bertajuk “kawan facebook” ini saya garap hasil daripada luahan hati rakan saya.

TAJUK : KAWAN FACEBOOK
Facebook
Kawan beribu
Setiap kali log in add satu persatu
Yang bagusnya tidak kenal tapi boleh bersatu
Semuanya kerana nikmat punyai rakan di facebook
Kawannya tidak berestu
Bila mejadi rakan sombong tidak menentu
Buat-buat tak tahu
Tak kenal dan sibuk selalu
mencuka muka jauh berbatu
semuanya penipu
wangi di facebook
tetapi hamis dan hancing di luarnya
beraja di papan kunci
tetapi terkunci mulut dan hati

Apa erti rakan di facebook?
Adakah hanya melihat gambar yang tidak tahu malu?
Membaca komen setiap waktu
Berkata secara melulu
Semuanya merapu
Entah apa yang hendak diberitahu
Mungkin dia tidak tahu malu
Itulah nikmat facebook
Punya rakan beribu
untuk baca komen yang macam hantu
Mungkin mereka berpegang
berkawan biar beribu, beramah biar satu?
Atau friends itu maksudnya bukan kawan?
Entahlah yang mana satu
Mungkin semuanya terkumpul dalam satu

Tapi tidak semua rakan facebook begitu
Saya tahu dalam sepuluh ada satu
Ada juga yang berkongsi ilmu
Menyuluh rakan ibarat lampu
Itulah untung punya rakan satu
tapi berbahasa dan beramah selalu

Secara tidak sedar saya dan anda juga mungkin tergolong dalam kawan facebook yang seramai seribu satu itu. Punya kawan tapi tidak bersatu. Tapi kawan saya baru 300 lebih sahaja. (Hehehe). Tapi saya tetap akan cuba fikirkan itu.


“KALIMAH AKAL : FACEBOOK SEBAGAI KAWAN ATAU LAWAN?”

Jumaat, 11 Mac 2011

SITUASI: SIMBOL STATUS

Rakan-rakan pembaca, apakah simbol status pada individu yang kaya? Tentu sahaja harta kekayaan, pangkat dan nama yang menjadi pilihan jawapan. Tentu tidak dipanggil kaya jika si kaya itu tidak memandu kereta Mercedes dan BMW serta memiliki banglo yang bertingkat-tingkat. Bagaimana pula dengan si miskin yang bercita rasa tinggi? Perihal bagi si miskin itu bolehlah diibaratkan seperti ‘biar papa asalkan bergaya’. Tampaknya, simbol sangat penting sebagai perlambangan kepada status yang dimiliki seseorang.

Hari ini saya ingin berkongsi sesuatu, iaitu berkenaan simbol bahasa bagi orang-orang kaya. Pernahkah anda meneliti tatacara orang kaya berkata-kata? Setujukah anda jika saya mengatakan bahawa secara kebiasaannya tutur mereka pasti sedikit angkuh walupun bukan semua orang kaya begitu?

Biasanya, jika kita mendengar tutur mereka pasti mepunyai campuran bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Walau bagaimanpun, kali ini saya ingin perlihatkan kepada rakan-rakan pembaca bahawa terdapat banyak ‘penyindiran’ yang terluah apabila mereka berkata-kata. Hal tersebut mungkin sahaja berlaku disebabkan kesengajaan mahupun sebaliknya. Berikut merupakan contoh dialog antara mak Mah dan Razif:

Mak Mah : Tak tidur lagi Razif?
Razif : Tak boleh tidur la, panas sangat kat dalam tu.
Mak Mah : Kenapa kamu tertepuk-tepuk tu?
Razif : Nyamuk banyak la.
            
        Berdasarkan dialog di atas, kita pastinya tahu bahawa Razif merupakan individu yang tidak biasa tidur dalam keadaan yang agak panas serta tidak selesa dengan hurungan nyamuk. Jika diperhatikan, sungguhpun ayat yang digunakan oleh Razif itu dituturkan dengan cara selembutnya, namun makna yang tersirat dalam ayat tersebut tetap jelas. Razif sebenarnya menyindir keadaan rumah Mak Mah yang panas dan banyak nyamuk. Secara tersiratnya, Razif merupakan seorang yang kaya, biasa tidur dalam keadaan yang dingin (aircond) serta tiada hurungan nyamuk (kelambu).
            
           Sememangnya bahasa sindiran merupakan salah satu gaya bahasa, namun sindiran angkuh seperti dalam contoh dialog di atas itu merupakan sindiran yang harus kita tolak sekerasnya. Walau bagaimanapun, itulah salah satu simbol yang terdapat dalam kalangan orang kaya di sekeliling kita.
           
    Kesimpulannya, ingin saya nyatakan bahawa bahasa penyindiran juga merupakan salah satu simbol bahasa bagi mereka yang kaya, khususnya ketika berhadapan dengan masyarakat yang miskin. Mereka cenderung untuk membuat perbandingan antara diri mereka dengan masyarakat miskin. Justeru, bolehkah saya menganggap bahasa juga sebagai salah satu simbol bagi orang kaya? Fikir-fikirkan.


“KALIMAH AKAL : BAHASA SIMBOL STATUS”



SITUASI: NASI LEMAK 50 SEN?

Apakah yang anda fikir bekenaan tajuk situasi di atas? Sebenarnya saya ingin berkongsi sedikit berkenaan bahasa yang bersifat sosiolek. Kebiasaannya, bahasa dalam satu-satu golongan lebih banyak bersifat negatif berbanding positif. Sebelum ini, mungkin saya pernah menceritakan kisah lelaki lembut yang banyak menggunakan rahsia kata, namun pada kali ini saya ingin berkongsi bahasa dalam golongan mat rempit, mat kelab malam, mat gian, mat nafsu dan banyak lagi mat. Golongan pun bermula dengan kata dasar ‘mat’, jadi pastinya istilah ini dipertuturkan oleh insan yang bernama lelaki, namun ada juga perempuan yang menggunakannya.

Sebelum dihuraikan dengan lebih lanjut, saya sangat berharap agar para pembaca melihat perkongsian maklumat ini dari sudut yang baik bukan sebaliknya. Berdasarkan tajuk situasi yang saya bawa, jika dilihat sepintas lalu mungkin masyarakat dahulu merujuk ‘nasi lemak 50 sen’ tersebut sebagai jenis makanan dan harganya. Walau bagaimanapun, pada zaman ini ruang lingkup bagi kalimah ‘nasi lemak 50 sen’ tersebut lebih merujuk kepada satu kiasan. Berikut merupakan contoh ayat yang menggunakan kalimah tersebut, contoh tersebut saya petik daripada beberapa buah filem di Malaysia:

Contoh :
      1. Syurga cinta
          Irham : Nasi lemak kat Malaysia harga 50 sen je bro,
          kat London 1 pound tu.

      2. Cuti-cuti cinta
          Omarudy : Ha tu apa tu? Dahi jendol,
          nasi lemak 50 sen je.

        Berdasarkan contoh di atas, ‘nasi lemak 50 sen’ sebenarnya bukanlah merujuk kepada jenis makanan dan harganya, tetapi merujuk kepada anggota badan yang terdapat pada kaum wanita iaitu payudara. Sesungguhnya, perkataan tersebut sangat sensitif. Oleh hal yang demikian, saya berpendapat penggunaan kalimah ‘nasi lemak 50 sen’ itu merupakan salah satu konotasi bagi menyatakan saiz anggota tersebut.
            
      Walaupun konotasi tersebut mungkin lebih bersifat negatif, namun saya menganggap konotasi tersebut sebagai salah satu kiasan pemanis. Kiasan pemanis wajar digunakan, namun punggunaan kalimah tersebut bukanlah bertujuan untuk mengutuk seseorang atau sebagainya. Seeloknya, penggunaan tersebut haruslah digunakan secara berpada iaitu tidak menyakitkan hati orang.
            
        Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa terdapat aspek yang baik juga dalam penggunaan bahasa yang bersifat sosiolek itu. Hal ini demikian kerana, penggunaannya mampu memberi konotasi yang lebih lembut sifatnya jika dibandingkan dengan katanya yang asli. Contoh lain adalah ‘bayar bil air’ yang membawa maksud hubungan asmara antara lelaki dan perempuan.


“KALIMAH AKAL : KONOTASI MERUPAKAN KIASAN PEMANIS”


SITUASI: HIDUNG TINGGI

Malam itu, penuh kereta dan juga motosikal di kedai kerana mahu menonton perlawanan bola sepak liga perdana Inggeris. Saya dan rakan hanya boleh menonton perlawanan itu dari tempat yang agak jauh namun masih agak jelas kelihatan. Dalam suasana yang agak sesak itu, biasalah pemandu akan menggunakan segala ruang untuk meletakkan kenderaan, baik pemandu mahupun penunggang motosikal.

Tiba-tiba, terdapat sebuah kereta yang membunyikan hon kereta yang dipandunya dengan kuat dan panjangnya. Suara penyokong yang kuat dan rakus menyokong pasukan pilihan masing-masing tiba-tiba sepi sekali. Semua tertanya-tanya, siapa itu? Bukan main lagi lagaknya, hon berbunyi tanpa henti, minyak ditekan kedengaran tinggi, hinggakan tidak menoleh pun tahu pemandu itu orang yang baik budi atau hidung tinggi.

Penjual di situ meminta pemandu kereta yang parkir di hadapan kedai itu untuk mengalihkan kereta kerana menghalang laluan kereta lain. Sememangnya menghalang laluan jalan adalah salah satu kesalahan jalan raya. Selepas kereta yang menghalang jalan itu dialihkan, pemandu kereta yang saya anggap sebagai kurang ajar itu terus sahaja memecut ke tempat parkirnya yakni bersebelahan dengan kedai makan itu. Di bawah sinaran lampu di tempat parkir itu barulah terlihat kereta yang dipandu lelaki itu berupa Mercedes warna putih. Oh, patutlah hidungnya begitu tinggi.

Ingin saya nyatakan di sini bahawa, pemandu kereta Mercedes itu telah mencerminkan salah satu sikap pemanduan yang sangat tidak baik. Seharusnya, sikap bertimbang rasa perlulah ada dalam diri pemandu. Sungguhpun kesalahan sememangnya berpunca daripada pemandu yang salah parkir itu, namun tindak balas yang ditunjukkan oleh pemandu kereta Mercedes sememangnya tidak wajar. Perlakuan tersebut menggambarkan diri pemandu itu yang hidung tinggi dan panas baran.

Kesimpulannya, sikap bertimbang rasa haruslah ada bukan sahaja dalam kalangan pemandu, bahkan juga dalam kalangan masyarakat yang luas. Hal ini demikian kerana, sikap itu mampu menyatukan atau merapatkan hubungan sesama pemandu di jalan raya serta masyarakat di Malaysia ini. Semaian sikap itu juga adalah selaras dengan konsep ‘Satu Malaysia’ yang cuba diterapkan oleh kerajaan.


“KALIMAH AKAL : HIDUNG TINGGI SIFAT MAZMUMAH”