Jumaat, 18 Mac 2011

SITUASI: DENDAM

Sememangnya sukar meleraikan dendam. Walau bagaimanapun, wajarkah kita menggunakan cara kotor untuk melepaskan amarah terhadap dendam yang tersimpan? Cara yang saya maksudkan ialah penggunaan bomoh dalam kehidupan.

Sesungguhnya, Allah s.w.t sangat menuntut hamba-Nya supaya berusaha dan bertawakal kepada-Nya dalam mengusahakan sesuatu. Misalnya, berikhtiar menggunakan perubatan tradisional dalam merawat penyakit yang tidak dapat ditafsir oleh para doktor.

Walau bagaimanapun, dalam situasi mencari bomoh untuk menyantau orang yang didendam, saya melihat situasi tersebut sebagai sangat jauh menyimpang dari sudut keagamaan, namun perkara itulah yang telah menjadi seperti satu kebiasaan pada masyarakat kini, sungguhpun kita sudah berada dilandasan atau diarus kemodenan.

Baru-baru ini saya ada terdengar cerita berkenaan penggunaan ilmu santau bagi melariskan perniagaan. Semuanya berpunca daripada dendam terhadap pesaing perniagaan yang dilihat seperti mengganggu mata pencariannya yang mungkin semakin berkurangan. Mungkin juga kerana ketamakan yang melampau. Wallahualam.

Sebenarnya terdapat pelbagai perkara yang boleh dilakukan oleh pemilik restoran atau kedai makan tersebut bagi menarik hati pelanggan untuk datang berkunjung ke premis perniagaan mereka. Antara perkara yang boleh diberi perhatian bagi menarik hati pelanggan adalah berkenaan kebersihan, layanan, harga yang ditetapkan dan sebagainya. Harus kita ketahui bahawa setiap pelanggan sangat menitikberatkan kebersihan, layanan yang mesra, harga yang berpatutan juga penghantaran segera. Oleh itu, restoran tersebut haruslah mempertingkat mutu perkhidmatan yang ditawarkan. Siapa yang mahu datang makan ke restoran tersebut jika 1 jam selepas pesanan dibuat baru dapat makanannya?

Sebagai kesimpulan, bagi mereka yang beretika dalam perniagaan, seharusnya penggunaan ilmu salah itu dijauhi, malahan kepada sesiapa juga yang berhasrat untuk menuntutnya seharusnya dilupakan sama sekali. Sesungguhnya, rezeki itu datangnya daripada Allah s.w.t. bukan daripada bomoh santau.


“KALIMAH AKAL : BOMOH SALAH DI SISI AGAMA”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan