Rakan-rakan pembaca, apakah simbol status pada individu yang kaya? Tentu sahaja harta kekayaan, pangkat dan nama yang menjadi pilihan jawapan. Tentu tidak dipanggil kaya jika si kaya itu tidak memandu kereta Mercedes dan BMW serta memiliki banglo yang bertingkat-tingkat. Bagaimana pula dengan si miskin yang bercita rasa tinggi? Perihal bagi si miskin itu bolehlah diibaratkan seperti ‘biar papa asalkan bergaya’. Tampaknya, simbol sangat penting sebagai perlambangan kepada status yang dimiliki seseorang.
Hari ini saya ingin berkongsi sesuatu, iaitu berkenaan simbol bahasa bagi orang-orang kaya. Pernahkah anda meneliti tatacara orang kaya berkata-kata? Setujukah anda jika saya mengatakan bahawa secara kebiasaannya tutur mereka pasti sedikit angkuh walupun bukan semua orang kaya begitu?
Biasanya, jika kita mendengar tutur mereka pasti mepunyai campuran bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Walau bagaimanpun, kali ini saya ingin perlihatkan kepada rakan-rakan pembaca bahawa terdapat banyak ‘penyindiran’ yang terluah apabila mereka berkata-kata. Hal tersebut mungkin sahaja berlaku disebabkan kesengajaan mahupun sebaliknya. Berikut merupakan contoh dialog antara mak Mah dan Razif:
Mak Mah : Tak tidur lagi Razif?
Razif : Tak boleh tidur la, panas sangat kat dalam tu.
Mak Mah : Kenapa kamu tertepuk-tepuk tu?
Razif : Nyamuk banyak la.
Berdasarkan dialog di atas, kita pastinya tahu bahawa Razif merupakan individu yang tidak biasa tidur dalam keadaan yang agak panas serta tidak selesa dengan hurungan nyamuk. Jika diperhatikan, sungguhpun ayat yang digunakan oleh Razif itu dituturkan dengan cara selembutnya, namun makna yang tersirat dalam ayat tersebut tetap jelas. Razif sebenarnya menyindir keadaan rumah Mak Mah yang panas dan banyak nyamuk. Secara tersiratnya, Razif merupakan seorang yang kaya, biasa tidur dalam keadaan yang dingin (aircond) serta tiada hurungan nyamuk (kelambu).
Sememangnya bahasa sindiran merupakan salah satu gaya bahasa, namun sindiran angkuh seperti dalam contoh dialog di atas itu merupakan sindiran yang harus kita tolak sekerasnya. Walau bagaimanapun, itulah salah satu simbol yang terdapat dalam kalangan orang kaya di sekeliling kita.
Kesimpulannya, ingin saya nyatakan bahawa bahasa penyindiran juga merupakan salah satu simbol bahasa bagi mereka yang kaya, khususnya ketika berhadapan dengan masyarakat yang miskin. Mereka cenderung untuk membuat perbandingan antara diri mereka dengan masyarakat miskin. Justeru, bolehkah saya menganggap bahasa juga sebagai salah satu simbol bagi orang kaya? Fikir-fikirkan.
“KALIMAH AKAL : BAHASA SIMBOL STATUS”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan