Jumaat, 11 Mac 2011

SITUASI: PELUASAN BAHASA DAN ADAT

Kebelakangan ini, banyak cerita yang kita dengar berkenaan perkahwinan campur. Ada yang menyokong dan ada juga yang menentang. Sememangnya, terdapat pro dan kontra berkenaan isu perkahwinan campur tersebut. Oleh itu, saya cuba berkongsi dengan rakan-rakan pembaca dalam blog ini berkenaan salah satu fungsi amalan perkahwinan campur berdasarkan aspek sosiolinguistik.

Secara definisinya, istilah kahwin campur itu asalnya digunakan oleh pihak gereja Katolik untuk menyatakan sebuah perkahwinan antara seorang Kristian dan seorang yang bukan Kristian. Walau bagaimanapun, kini istilah perkahwinan campur tersebut membawa maksud sebuah perkahwinan yang melibatkan dua orang yang berlainan agama, kewarganegaraan dan bangsa. Oleh itu, perkahwinan campur bolehlah dikelaskan kepada 3 kategori iaitu:

1.Kahwin campur antara kaum
   Contoh: Seorang perempuan India berkahwin dengan seorang lelaki Cina.

2. Kahwin campur antara agama
    Contoh : Seorang Kristian berkahwin dengan seorang Buddha.

3. Kahwin campur antara negara (kewarganegaraan)
   Contoh : Seorang muslim yang berbangsa Melayu berkahwin dengan seorang muslim yang berbangsa  Arab.
          
        Seperti yang telah saya perkatakan pada awal kalimah tadi, salah satu fungsi perkahwinan campur adalah untuk memperluaskan bahasa. Berdasarkan teori yang dibawa oleh Edward Sapir iaitu teori hanyut, beliau menyatakan bahawa sesuatu bahasa itu akan terus berkembang dengan meluasnya selagi masyarakat yang menuturkan bahasa tersebut bertambah. Perkara inilah yang saya cuba kaitkan dengan amalan perkahwinan campur.
            
        Perluasan bahasa ini boleh terbentuk dalam pelbagai bidang, baik dari segi budaya, adat, sosial, ekonomi, mahupun perundangan. Berdasarkan kategori 1 di atas, kesukaran yang berlaku dalam komunikasi antara perempuan India dengan suaminya itu, serta saudara mara dan rakan taulan akan memungkinkan bahasa Melayu digunakan secara langsung dalam kehidupan mereka. Peningkatan penutur ini sekali gus akan memperluaskan lagi bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan.
            
     Penggunaan bahasa Melayu akan menjadi lebih luas ketika proses mengenal budaya pasangan masing-masing. Hal ini demikian kerana, kejelasan bersama adalah sangat diperlukan bagi memahami sesuatu budaya yang diamalkan secara terperinci.

  Kesimpulannya, amalan perkahwinan campur mampu memperluaskan lagi bahasa kebangsaan yakni bahasa Melayu.  Perubahan tersebut adalah selaras dengan perkembangan tamadun Melayun di Malaysia ini. Dengan perkambangan ini juga, tamadun Melayu pasti dikenali oleh masyarakat dunia terutama bahasa Melayunya yang bersifat lingua franca.


“KALIMAH AKAL : PERKAHWINAN PENCETUS PERLUASAN BAHASA”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan