Jumaat, 11 Mac 2011

SITUASI: HIDUNG TINGGI

Malam itu, penuh kereta dan juga motosikal di kedai kerana mahu menonton perlawanan bola sepak liga perdana Inggeris. Saya dan rakan hanya boleh menonton perlawanan itu dari tempat yang agak jauh namun masih agak jelas kelihatan. Dalam suasana yang agak sesak itu, biasalah pemandu akan menggunakan segala ruang untuk meletakkan kenderaan, baik pemandu mahupun penunggang motosikal.

Tiba-tiba, terdapat sebuah kereta yang membunyikan hon kereta yang dipandunya dengan kuat dan panjangnya. Suara penyokong yang kuat dan rakus menyokong pasukan pilihan masing-masing tiba-tiba sepi sekali. Semua tertanya-tanya, siapa itu? Bukan main lagi lagaknya, hon berbunyi tanpa henti, minyak ditekan kedengaran tinggi, hinggakan tidak menoleh pun tahu pemandu itu orang yang baik budi atau hidung tinggi.

Penjual di situ meminta pemandu kereta yang parkir di hadapan kedai itu untuk mengalihkan kereta kerana menghalang laluan kereta lain. Sememangnya menghalang laluan jalan adalah salah satu kesalahan jalan raya. Selepas kereta yang menghalang jalan itu dialihkan, pemandu kereta yang saya anggap sebagai kurang ajar itu terus sahaja memecut ke tempat parkirnya yakni bersebelahan dengan kedai makan itu. Di bawah sinaran lampu di tempat parkir itu barulah terlihat kereta yang dipandu lelaki itu berupa Mercedes warna putih. Oh, patutlah hidungnya begitu tinggi.

Ingin saya nyatakan di sini bahawa, pemandu kereta Mercedes itu telah mencerminkan salah satu sikap pemanduan yang sangat tidak baik. Seharusnya, sikap bertimbang rasa perlulah ada dalam diri pemandu. Sungguhpun kesalahan sememangnya berpunca daripada pemandu yang salah parkir itu, namun tindak balas yang ditunjukkan oleh pemandu kereta Mercedes sememangnya tidak wajar. Perlakuan tersebut menggambarkan diri pemandu itu yang hidung tinggi dan panas baran.

Kesimpulannya, sikap bertimbang rasa haruslah ada bukan sahaja dalam kalangan pemandu, bahkan juga dalam kalangan masyarakat yang luas. Hal ini demikian kerana, sikap itu mampu menyatukan atau merapatkan hubungan sesama pemandu di jalan raya serta masyarakat di Malaysia ini. Semaian sikap itu juga adalah selaras dengan konsep ‘Satu Malaysia’ yang cuba diterapkan oleh kerajaan.


“KALIMAH AKAL : HIDUNG TINGGI SIFAT MAZMUMAH”



Tiada ulasan:

Catat Ulasan