Ahad, 13 Mac 2011

SITUASI: BAHASA PERLAMBANGAN


Bangun sahaja dari tidur saya terpandang jalur gemilang atau bendera yang tergantung di dinding bilik saya. Terfikir sejenak, bagaimana saya mengetahui makna di sebalik bendera itu, bendera yang menjadi asas penyatuan negeri serta masyarakat di Malaysia ini. Jika dilihat pada bendera, yang ada hanya 14 jalur melintang yang berwarna merah dan putih, ada bulan dan bintang yang berwarna kuning di dalam segi empat yang berwarna biru.
      
Dari sudut semantik atau makna, sungguhpun tiada penerangan pada bendera tersebut, namun kita masih faham akan makna bendera itu kerana terdapat lambang-lambang yang membawa maksud tertentu. Sifat lambang adalah konvensional dan berbeza dengan sifat tanda iaitu alamiah atau semula jadi, serta isyarat iaitu sifatnya disengajakan. Berikut merupakan penerangan kepada lambang-lambang yang terdapat dalam bendera Malaysia:
  1. 14 jalur merah dan putih merupakan lambang keanggotaan yang sama iaitu 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan.
  2. Anak bulan melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
  3. Bintang yang berbucu 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan.
  4. Warna biru tua di atas sebelah kiri melambangkan perpaduan rakyat Malaysia.
  5. Warna kuning pada anak bulan dan bintang melambangkan warna Diraja bagi duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
  6. Warna merah melambangkan sifat gagah dan berani menghadapi cabaran. 
  7. Warna putih melambangkan keluhuran budi.

 Sifat lambang yang konvensional menyebabkan kita hanya mampu mengetahui maksud lambang tersebut selepas kita mempelajarinya sama ada secara formal atau sebaliknya. Tidak mungkin kita dapat memahami makna lambang itu secara semula jadi.
    
Oleh sebab lambang-lambang tersebut mampu memberi maksud tertentu terhadap sesuatu perkara, maka lambang juga diangkat sebagai salah satu daripada ciri bahasa. Melalui lambang-lambang itulah kita hidup berasaskan konsep 1 Malaysia. Justeru, hargai dan hormatilah bendera Malaysia kerana di sebalik lambang-lambang yang membentuk bendera itu tersirat pelbagai falsafah yang menjadi pegangan bagi rakyat Malaysia.


 “KALIMAH AKAL : LAMBANG SEBAGAI CIRI BAHASA”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan