Percayakah rakan-rakan bahawa pengucapan dengan menggunakan bahasa baku mampu membangkit pelbagai rasa dalam diri kita? Saya akan tunjukkan bagaimana penggunaan bahasa baku itu mampu membangkitkan pelbagai rasa seperti perasaan patriotik dan sebagainya. Di bawah ini saya tunjukkan sebuah sajak yang dikarang oleh Usman Awang pada tahun 1979:
TAJUK : GURU O GURU
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Trengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang di apungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Berdasarkan sajak di atas cuba sahaja anda baca dengan menggunakan 2 cara iaitu dengan menggunakan bahasa baku dan juga bahasa tuturan harian atau dikenali juga bahasa pasar. Bacaan secara bahasa pasar yang saya maksudkan adalah bunyi ‘a’ menjadi ‘e’ yang sangat ketara apabila ‘a’ tersebut hadir di hujung sesuatu perkataan. Misalnya:
- Setia menjadi *setie*
- Miliknya menjadi *miliknye*
- Segala menjadi *segale*
- Dewasa menjadi *dewase*
Berdasarkan bacaan sajak secara baku dan pasar tadi, yang manakah lebih terkesan terhadap perasaan anda? Setujukah anda jika saya katakan bahawa pembacaan yang menggunakan bahasa baku lebih terkesan. Perasaan cinta akan kerjaya guru pasti mampu diserap dalam jiwa pembaca mahupun pendengar.
Oleh hal yang demikian, usaha pembakuan bahasa adalah sangat wajar diaplikasikan. Dengan terlaksananya pembakuan bahasa maka usaha keras Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memperkembangkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang diguna dalam perhubungan luas pasti dapat dicapai.
“KALIMAH AKAL : BAKU PEMBANGKIT RASA”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan