Ahad, 6 Mac 2011

SITUASI: SENDI KATA

Dalam perjalanan pulang dari Subang, saya dan rakan-rakan singgah sebentar di kawasan rehat dan rawat (R&R) Rawang untuk minum dan mengisi minyak motosikal yang terlihat pada meter sudah hampir kepada ‘E’. Berjalan sahaja ke arah kedai, terlintas di depan mata saya, papan tanda amaran berkenaan peraturan kawasan permainan di situ. Berikut merupakan arahan yang tertulis pada papan tanda itu:

“Penggunaan dihadkan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun kebawah sahaja”

        Berdasarkan amaran itu, ingin saya berkongsi dengan rakan pembaca tentang penggunaan kata sendi nama atau diistilahkan oleh Za’ba sebagai sendi kata. Seperti yang telah saya terangkan sebelum ini, sendi kata hadir bersama kata nama. Oleh sebab itu, dalam Tatabahasa Dewan istilah yang digunakan adalah kata nama. Sering kali, berlaku banyak masalah dalam penggunaan sendi kata ini dan contoh di atas merupakan salah satu daripadanya. Sendi kata haruslah dieja secara jarak dengan kata nama yang hadir selepasnya.

Merujuk kepada contoh di atas, seharusnya “kebawah” dieja sebagai “ke bawah”. Dalam kata kebawah, ‘ke’ berfungsi sebagai imbuhan awalan ke-. Walau bagaimanapun, anggapan itu adalah salah kerana makna yang dihasilkan oleh gabungan imbuhan ‘ke-’ dan kata nama ‘bawah’ bukanlah merujuk kepada orang atau benda. Dalam ayat tersebut ‘ke bawah’ membawa maksud peringkat umur yang lebih rendah daripada 12 tahun. Hal ini membuktikan bahawa ke dalam kata ‘kebawah’ itu merupakan sendi kata bukannya imbuhan awalan ke-. Oleh itu, ejaan yang sebenar adalah ‘ke bawah’.

Sebagai pengetahuan kita bersama, berdasarkan Tatabahasa Dewan imbuhan ke- sememangnya wujud bagi membentukan kata nama terbitan. Misalnya, ketua, kekasih dan kehendak. Walau bagaimanapun, kehadiran imbuhan ke- dengan sesuatu kata nama hanya membawa satu penanda makna sahaja iaitu penanda makna orang atau benda. Justeru, adalah sangat tidak wajar apabila ke- ditulis rapat dengan kata nama bawah kerana itu adalah salah.

Papan tanda amaran
“KALIMAH AKAL : SENDI ‘KE’ BERBEZA DENGAN IMBUHAN ‘KE-’ ”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan