Rabu, 30 Mac 2011

SITUASI: PERIHAL MALANG

Satu sajak yang sungguh asyik, begitu terpaku bila mendengarkan. Bibir berketap, mata berkelip. Terharu memikirkan sikap masyarakat kini. Sememangnya sangat sukar apabila diceritakan berkenaan seorang anak kecil yang tempatnya di jamban. “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” mungkin itu yang dirasai mereka.

Berdosakah mereka, diherdik dan dicerca. Mungkinkah ramai tidak merasa, begitu teruk mereka tersiksa. Tetapi ramai masyarakat yang memaksa, membuang mereka ikut suka. Kepada anak kecil yang bertuah, sungguh hidupmu bermula di tempat busuk bernama jamban, pedulikan semua, cintai jiwa. Anda wira jika berjaya.

Kepada masyarakat, hentikan pandangan jijik kita kepada mereka, mungkin kerana mereka lahir merata tetapi mereka juga manusia. Pujian kepada penyajak dan rakan-rakan di dalam video itu. Penyampaian sajak sungguh memberi kesan kepada emosi. Terima kasih.

Jumaat, 18 Mac 2011

SITUASI: KAJIAN SOSIOLINGUISTIK

Berdasarkan video yang saya paparkan, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada ahli kumpulan saya kerana berjaya menghasilkan satu drama sosiolinguistik yang berbentuk iklan tersebut.

Saya hanya ingin mengulas serba sedikit berkenaan iklan yang kami buat dengan budaya masyarakat di Malaysia ini. Benarlah peribahasa Melayu sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Begitulah analoginya dengan penumpang teksi seperti dalam video di atas. Apabila belajar bertahun-tahun di luar negara serta mahir berbahasa Inggeris, bahasa Melayu dilupakan. Dengan pemandu teksi dan orang kebanyakan juga mahu digunakan bahasa Inggeris.

Ke mana hilangnya martabat bahasa Melayu kita? Sedangkan sejak kecil menyebut huruf dalam bahasa Melayu serta betutur menggunakan bahasa Melayu. Adakah masyarakat kini jemu berbahasa Melayu? Saya tidak berfikir begitu, tetapi saya merasakan bahawa masyarakat kita terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris yang satu masa dahulu pernah menjajah kita.

Rakan-rakan pembaca sekalian, setinggi mana kita belajar bahasa Inggeris kita tetap orang Malaysia iaitu tempatnya di Timur. Sepandai mana juga anda bertutur bahasa Inggeris, lembut lidah anda adalah berasaskan bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, janganlah anda sombong dan bongkak dalam menggunakan bahasa Inggeris, tanamkanlah dalam diri anda bahawa bahasa Melayu juga merupakan salah satu perhubungan yang luas fungsinya. Sama sahaja seperti bahasa Inggeris.

“KALIMAH AKAL : BAHASA KITA WAJAH KITA”


SITUASI: KONGSI

Hari ini saya bersembang dengan rakan serumah saya berkenaan tajuk situasi di atas. Berikut merupakan sedikit sebanyak perbualan kami, sebenarnya perbualan kami lebih menjurus kepada kenapa susah untuk berkongsi:

Saya : Ko percaya tak manusia ini susah untuk berkongsi?
Rakan 1 : Mestilah aku percaya, aku sendiri pernah alami.
Saya : Rasanya lelaki atau perempuan yang susah berkongsi?
Rakan 1 : Aku alami dengan budak perempuan.
Rakan 2 : Budak lelaki sama juga, kedekut ilmu.
Wan : Kenapa cakap macam itu?
Rakan 1 : Adalah sorang tu, nota kuliah pun tak nak kongsi.
Rakan 2 : Samalah, tapi aku dengan budak lelaki.
Saya : Mungkin sebab dia antara pelajar terbaik kot.
Rakan 2 : Terbaik tak terbaik sama jer. Susah nak berkongsi.

Berdasarkan tajuk yang kami bualkan, sememangnya itulah situasi sebenar dalam kehidupan kita yang bergelar pelajar. Persaingan sememangnya baik dalam meningkatkan mutu pembelajaran kita. Walau bagaimanapun, jika dalam kes berkongsi ilmu ini juga mahu dikisahkan, maka sukarlah perkongsian ilmu ini berlaku.

Sebenarnya perkongsian ilmu ini merupakan sesuatu yang sangat baik, namun dalam kalangan pelajar perkara yang difikirkan ialah mereka tidak mahu ada orang yang lebih pandai daripadanya atau dapat menandinginya dalam mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Kesimpulannya, budaya berkongsi ilmu adalah sangat baik. Terdapat satu hadis nabi, katanya, “sampaikanlah ilmu walau hanya satu ayat”. Bukanlah mahu dikongsi satu ayat, jika dapat satu perkataan pun tidak mengapa.

Sedikit fikiran di luar kotak : Kawan-kawan, mungkinkah ini juga salah satu sebab perempuan tidak mahu berkongsi lelaki? Sekadar pertanyaan biasa. 


“KALIMAH AKAL : KONGSI ILMU SATU KEWAJIPAN”


SITUASI: BAHASA MALAYSIA vs BAHASA INDONESIA

Benarkah bahasa Indonesia lebih indah daripada bahasa Malaysia? Saya berasa tertarik untuk berdiskusi dengan rakan-rakan pembaca berkenaan situasi ini. Sememangnya, penggunaan bahasa Melayu Indonesia banyak terserap dalam tuturan masyarakat di Malaysia. Saya tunjukkan beberapa contoh yang boleh kita lihat bersama:
  1. Kerana menjadi kerna
  2. Berbeza menjadi berbeda
  3. Sangat menjadi bangat
  4. Sudah menjadi udah

Situasi diatas sangat ketara digunakan dalam bidang hiburan. Apabila dengar sahaja lagu yang dinyanyikan, campuran bahasa telah berlaku. Kumpulan penyanyi berasal dari Malaysia tetapi beridentitikan negara seberang. Adakah itu strategi promosi serta menarik hati peminat di luar negara? Perlukah sebegitu, ibaratnya seperti bahasa Melayu diperlekehkan sahaja.

Banyak lagi perkataan bahasa Melayu Indonesia yang digunakan dalam pertuturan seharian mahupun dalam dunia hiburan. Bukanlah mahu mengatakan bahasa Melayu Indonesia itu salah, maknanya sememangnya sama 100% dengan bahasa Melayu. Malahan bahasa Melayu dan bahasa Melayu Indonesia merupakan bahasa serumpun.

Walau bagaimanapun, perkara yang ingin saya tegaskan di sini ialah cintailah bahasa Melayu kita. Kita mempunyai bahasa yang tersendiri, jadi budayakanlah bahasa yang kita miliki. Banggalah dengan bahasa yang kita ada. Jadikanlah bahasa Melayu sebagai identiti diri. Kuatkanlah nasionalime dalam diri kita untuk mencintai bahasa Melayu.


“KALIMAH AKAL : JADIKAN BAHASA MELAYU BAHASA IDENTITI”


SITUASI: KATA GANTI DIRI

Pernahkah anda berfikir, kenapakah kita lebih cenderung untuk menggunakan sebarang pelat orang yang diajak bercakap walaupun pada hakikatnya kita sendiri tidak cukup faham akan bahasa penutur tersebut? Perkara ini jelas dapat dilihat dalam penggunaan kata ganti diri (KGD), sama ada pertama atau kedua. Terdapat juga penggunaan kata ganti nama diri ketiga tetapi agak kurang digunakan.

KGD 1
1. Apabila kita berasal dari Melaka
    Aye tak tahu la
2. Apabila kita berasal dari Negeri Sembilan
    Mano den/ayo tau
3. Apabila kita berasal dari Kelantan
    Kawe pon tak tau

KGD 2
1. Apabila kita berjumpa dengan rakan yang berasal dari Kedah
    Hang duk mana?
2. Apabila kita berjumpa dengan rakan yang berasal dari Kelantan
    Demo duk mano?
3. Apabila kita berjumpa dengan rakan yang berasal dari Perak
    Deme duk mane?

Secara tidak sedar sebenarnya kita telah bersatu, kita saling menghargai bahasa atau dialek sesama kita. Dari situ dapat kita lihat bahawa kita hidup dalam satu negara yang punyai kepelbagaian keindahannya yang tersendiri. Jujurnya, saya sangat bangga apabila ada kawan-kawan yang cuba memahami bahasa yang lain.

Walau bagaimanpun, saya berasa sungguh tidak senang apabila rakyat Malaysia sering menggunakan I dan YOU dalam perbualan mereka. Kalau berkomunikasi dengan orang Inggeris mungkinlah, tapi jika dalam kalangan kawan-kawan pun mahu I dan YOU saya lebih merasakan itu sesuatu yang mengada-ngada sahaja. Perkara tersebut sebenarnya sudah sebati dalam jiwa masyarakat Malaysia ini yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris.

Kesimpulannya, gunakanlah bahasa kita apabila berkomunikasi, sedaya upayalah kita membudayakan penggunaan bahasa Melayu dalam pertuturan harian. Penggunaan dialek merupakan salah satu keindahan di Malaysia. Walau bagaimanapun, penggunaannya dalam situasi formal harapnya dapatlah dielakkan.


“KALIMAH AKAL : DIALEK PENGINDAH BAHASA”



SITUASI: DENDAM

Sememangnya sukar meleraikan dendam. Walau bagaimanapun, wajarkah kita menggunakan cara kotor untuk melepaskan amarah terhadap dendam yang tersimpan? Cara yang saya maksudkan ialah penggunaan bomoh dalam kehidupan.

Sesungguhnya, Allah s.w.t sangat menuntut hamba-Nya supaya berusaha dan bertawakal kepada-Nya dalam mengusahakan sesuatu. Misalnya, berikhtiar menggunakan perubatan tradisional dalam merawat penyakit yang tidak dapat ditafsir oleh para doktor.

Walau bagaimanapun, dalam situasi mencari bomoh untuk menyantau orang yang didendam, saya melihat situasi tersebut sebagai sangat jauh menyimpang dari sudut keagamaan, namun perkara itulah yang telah menjadi seperti satu kebiasaan pada masyarakat kini, sungguhpun kita sudah berada dilandasan atau diarus kemodenan.

Baru-baru ini saya ada terdengar cerita berkenaan penggunaan ilmu santau bagi melariskan perniagaan. Semuanya berpunca daripada dendam terhadap pesaing perniagaan yang dilihat seperti mengganggu mata pencariannya yang mungkin semakin berkurangan. Mungkin juga kerana ketamakan yang melampau. Wallahualam.

Sebenarnya terdapat pelbagai perkara yang boleh dilakukan oleh pemilik restoran atau kedai makan tersebut bagi menarik hati pelanggan untuk datang berkunjung ke premis perniagaan mereka. Antara perkara yang boleh diberi perhatian bagi menarik hati pelanggan adalah berkenaan kebersihan, layanan, harga yang ditetapkan dan sebagainya. Harus kita ketahui bahawa setiap pelanggan sangat menitikberatkan kebersihan, layanan yang mesra, harga yang berpatutan juga penghantaran segera. Oleh itu, restoran tersebut haruslah mempertingkat mutu perkhidmatan yang ditawarkan. Siapa yang mahu datang makan ke restoran tersebut jika 1 jam selepas pesanan dibuat baru dapat makanannya?

Sebagai kesimpulan, bagi mereka yang beretika dalam perniagaan, seharusnya penggunaan ilmu salah itu dijauhi, malahan kepada sesiapa juga yang berhasrat untuk menuntutnya seharusnya dilupakan sama sekali. Sesungguhnya, rezeki itu datangnya daripada Allah s.w.t. bukan daripada bomoh santau.


“KALIMAH AKAL : BOMOH SALAH DI SISI AGAMA”


SITUASI: SEMANGAT ASABIYAH

Hari ini saya mendengar luahan hati seorang rakan. Katanya, beliau sering diperkecilkan kerana semangat asabiyah itu. Ditambah pula dengan kelemahan yang terdapat pada dirinya, maka merasa kesalnya terhadap rakan-rakan tidak dapat dibendung lagi.

Pada mulanya saya berfikir, masih adakah semangat asabiyah ini? Engkau dengan kawan-kawan engkau, aku dengan kawan-kawan aku. Oh, pasti sukar diterima tetapi itulah kenyataan. Kata ustazah Nur Bahyah semasa menyampaikan ceramah di Kolej Harun Aminurrashid baru-baru ini, “Ilmu kalau dicurahkan atau dikongsi tidak akan hilang dan tidak akan menjadi bodoh juga orang yang mencurahkan ilmu itu, malahan peroleh keberkatan lagi kepada mereka yang berkongsi ilmu

Walau bagaimanapun, dalam situasi rakan saya ini, perkara berlaku sebaliknya. Ilmu aku, ilmu engkau juga. Tapi, ilmu engkau, dengan rakan-rakan engkau. Mana untuk aku? Begitulah gambaran perasaan rakan saya itu. Saya dapat bayangkan jika saya sendiri ditempatnya. Bukan dari sudut perkongsian ilmu sahaja, malahan dari sudut yang berlainan seperti keperluan sosial. Sama sahaja lakunya, semangat asabiyah tetap merajai diri. Bertemu muka tapi tidak bertegur sapa. Saya cuba gambarkan kata-kata rakan saya seperti ini:

Mereka seperti tiada nafsu berborak dengan aku,
mereka merendah-rendahkan aku,
jika baik pun pasti ada udang disebalik batu.

Pasti para pembaca juga ada yang mengalami situasi seperti rakan saya itu. Pada pendapat saya, semangat asabiyah ada baiknya. Walau bagaimanapun, bukanlah maksud saya semangat asabiyah yang menjurus kepada sifat negatif. Adalah sangat tidak wajar jika semangat asabiyah diwujudkan dalam perkongsian ilmu malah dalam mencari keperluan sosial juga.

Kesimpulannya, jika perkara tersebut yang diwujudkan melalui semangat asabiyah, maka seharusnya kita menentangnya dengan keras. Seharusnya, semangat asabiyah ini diterap dalam unsur yang positif seperti semangat cinta akan negara, bukan sekadar mencintai bendera negeri sahaja. Fikir-fikirkan.



“KALIMAH AKAL : RAKAN SEJATI RAKAN YANG DICARI”


SITUASI: BURUNG

Hari ini saya menonton televisyen dan melihat burung pandai barcakap. Percayakah anda bahawa burung mampu berbahasa? Sebagai contoh, burung murai, burung Kakak Tua dan terdapai beberapa jenis burung lagi yang pandai berkata-kata.

Terdapat satu artikel berkenaan isu burung yang pandai berkata-kata. Menurut jurnal tersebut, sebenarnya burung tidak pandai berbahasa, tetapi boleh berkata-kata sebab burung tersebut diajar untuk berkata-kata. Berdasarakan teori pelaziman, sesuatu kebiasaan mampu dipelajari kerana pembelajaran boleh dilakukan melalui peniruan. Maksudnya apabila burung tersebut diajar dengan kerap untuk berkata-kata maka burung tersebut cenderung untuk meniru kata-kata yang diajar.

Selain itu, burung juga mempunyai kelebihan yang dikurniakan Allah. Menurut saintis, burung tersebut mempunyai lidah yang lembut. Oleh sebab itu, burung tersebut pandai meniru kata-kata manusia tetapi bukan berbahasa. Hal ini dapat dibuktikan apabila haiwan tersebut langsung tidak faham bahasa yang dituturkan.

Saya cuba kaitkan burung tersebut dengan amalan manusia pada masa kini. Terdapat manusia yang cenderung memelihara burung sebagai pembantu di dalam rumah. Bukan tugas burung tersebut sebagai tukang masak, tetapi sebagai penyambut tetamu. Adakah anda fikir itu sesuatu yang wajar sebagai tanda menghormati tetamu yang hadir?

Sebagai contoh, bagi orang Islam, bunyi sahaja salam diberi sambil pintu diketuk, burung tersebut yang menyahut “selamat datang”, “welcome”, atau “hello”, “hai”. Seharusnya salam yang diberi disambut dengan sebaiknya, bukan dengan sahutan burung. Mungkin anda mempunyai pendapat yang berbeza, tetapi pada saya itu adalah satu amalan yang tidak baik.

Kesimpulannya, kita mempunyai adab yang sangat dititikberatkan, misalnya adab menyambut tetamu seperti yang saya terangkan tadi. Oleh itu, seharusnya kita menghargai adab tersebut kerana adab itu merupakan ajaran Islam yang harus kita ikuti. Penggunaan burung sebagai penyambut tetamu pada hemat saya adalah sama sekali tidak wajar.


“KALIMAH AKAL : SALAM PERIBADI ORANG YANG BERADAB”


Ahad, 13 Mac 2011

SITUASI: BAHASA BAKU

Percayakah rakan-rakan bahawa pengucapan dengan menggunakan bahasa baku mampu membangkit pelbagai rasa dalam diri kita? Saya akan tunjukkan bagaimana penggunaan bahasa baku itu mampu membangkitkan pelbagai rasa seperti perasaan patriotik dan sebagainya. Di bawah ini saya tunjukkan sebuah sajak yang dikarang oleh Usman Awang pada tahun 1979:

TAJUK : GURU O GURU
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Trengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang di apungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat. 

Berdasarkan sajak di atas cuba sahaja anda baca dengan menggunakan 2 cara iaitu dengan menggunakan bahasa baku dan juga bahasa tuturan harian atau dikenali juga bahasa pasar. Bacaan secara bahasa pasar yang saya maksudkan adalah bunyi ‘a’ menjadi ‘e’ yang sangat ketara apabila ‘a’ tersebut hadir di hujung sesuatu perkataan. Misalnya:
  1. Setia menjadi *setie*
  2. Miliknya menjadi *miliknye*
  3. Segala menjadi *segale*
  4. Dewasa menjadi *dewase*
Berdasarkan bacaan sajak secara baku dan pasar tadi, yang manakah lebih terkesan terhadap perasaan anda? Setujukah anda jika saya katakan bahawa pembacaan yang menggunakan bahasa baku lebih terkesan. Perasaan cinta akan kerjaya guru pasti mampu diserap dalam jiwa pembaca mahupun pendengar.

Oleh hal yang demikian, usaha pembakuan bahasa adalah sangat wajar diaplikasikan. Dengan terlaksananya pembakuan bahasa maka usaha keras Dewan Bahasa dan Pustaka untuk  memperkembangkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang diguna dalam perhubungan luas pasti dapat dicapai.


“KALIMAH AKAL : BAKU PEMBANGKIT RASA”


SITUASI: BAHASA PERLAMBANGAN


Bangun sahaja dari tidur saya terpandang jalur gemilang atau bendera yang tergantung di dinding bilik saya. Terfikir sejenak, bagaimana saya mengetahui makna di sebalik bendera itu, bendera yang menjadi asas penyatuan negeri serta masyarakat di Malaysia ini. Jika dilihat pada bendera, yang ada hanya 14 jalur melintang yang berwarna merah dan putih, ada bulan dan bintang yang berwarna kuning di dalam segi empat yang berwarna biru.
      
Dari sudut semantik atau makna, sungguhpun tiada penerangan pada bendera tersebut, namun kita masih faham akan makna bendera itu kerana terdapat lambang-lambang yang membawa maksud tertentu. Sifat lambang adalah konvensional dan berbeza dengan sifat tanda iaitu alamiah atau semula jadi, serta isyarat iaitu sifatnya disengajakan. Berikut merupakan penerangan kepada lambang-lambang yang terdapat dalam bendera Malaysia:
  1. 14 jalur merah dan putih merupakan lambang keanggotaan yang sama iaitu 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan.
  2. Anak bulan melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
  3. Bintang yang berbucu 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan.
  4. Warna biru tua di atas sebelah kiri melambangkan perpaduan rakyat Malaysia.
  5. Warna kuning pada anak bulan dan bintang melambangkan warna Diraja bagi duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
  6. Warna merah melambangkan sifat gagah dan berani menghadapi cabaran. 
  7. Warna putih melambangkan keluhuran budi.

 Sifat lambang yang konvensional menyebabkan kita hanya mampu mengetahui maksud lambang tersebut selepas kita mempelajarinya sama ada secara formal atau sebaliknya. Tidak mungkin kita dapat memahami makna lambang itu secara semula jadi.
    
Oleh sebab lambang-lambang tersebut mampu memberi maksud tertentu terhadap sesuatu perkara, maka lambang juga diangkat sebagai salah satu daripada ciri bahasa. Melalui lambang-lambang itulah kita hidup berasaskan konsep 1 Malaysia. Justeru, hargai dan hormatilah bendera Malaysia kerana di sebalik lambang-lambang yang membentuk bendera itu tersirat pelbagai falsafah yang menjadi pegangan bagi rakyat Malaysia.


 “KALIMAH AKAL : LAMBANG SEBAGAI CIRI BAHASA”


SITUASI: FACEBOOK

Saya cuba sampaikan situasi ini dengan sedikit kelainan, ulasan saya berdasarkan sajak yang saya garap sendiri. Mungkin tidak seindah sasterawan tapi punyai hikmah disebalik “sekawan kawan” yang bergelar manusia. Sajak bertajuk “kawan facebook” ini saya garap hasil daripada luahan hati rakan saya.

TAJUK : KAWAN FACEBOOK
Facebook
Kawan beribu
Setiap kali log in add satu persatu
Yang bagusnya tidak kenal tapi boleh bersatu
Semuanya kerana nikmat punyai rakan di facebook
Kawannya tidak berestu
Bila mejadi rakan sombong tidak menentu
Buat-buat tak tahu
Tak kenal dan sibuk selalu
mencuka muka jauh berbatu
semuanya penipu
wangi di facebook
tetapi hamis dan hancing di luarnya
beraja di papan kunci
tetapi terkunci mulut dan hati

Apa erti rakan di facebook?
Adakah hanya melihat gambar yang tidak tahu malu?
Membaca komen setiap waktu
Berkata secara melulu
Semuanya merapu
Entah apa yang hendak diberitahu
Mungkin dia tidak tahu malu
Itulah nikmat facebook
Punya rakan beribu
untuk baca komen yang macam hantu
Mungkin mereka berpegang
berkawan biar beribu, beramah biar satu?
Atau friends itu maksudnya bukan kawan?
Entahlah yang mana satu
Mungkin semuanya terkumpul dalam satu

Tapi tidak semua rakan facebook begitu
Saya tahu dalam sepuluh ada satu
Ada juga yang berkongsi ilmu
Menyuluh rakan ibarat lampu
Itulah untung punya rakan satu
tapi berbahasa dan beramah selalu

Secara tidak sedar saya dan anda juga mungkin tergolong dalam kawan facebook yang seramai seribu satu itu. Punya kawan tapi tidak bersatu. Tapi kawan saya baru 300 lebih sahaja. (Hehehe). Tapi saya tetap akan cuba fikirkan itu.


“KALIMAH AKAL : FACEBOOK SEBAGAI KAWAN ATAU LAWAN?”

Jumaat, 11 Mac 2011

SITUASI: SIMBOL STATUS

Rakan-rakan pembaca, apakah simbol status pada individu yang kaya? Tentu sahaja harta kekayaan, pangkat dan nama yang menjadi pilihan jawapan. Tentu tidak dipanggil kaya jika si kaya itu tidak memandu kereta Mercedes dan BMW serta memiliki banglo yang bertingkat-tingkat. Bagaimana pula dengan si miskin yang bercita rasa tinggi? Perihal bagi si miskin itu bolehlah diibaratkan seperti ‘biar papa asalkan bergaya’. Tampaknya, simbol sangat penting sebagai perlambangan kepada status yang dimiliki seseorang.

Hari ini saya ingin berkongsi sesuatu, iaitu berkenaan simbol bahasa bagi orang-orang kaya. Pernahkah anda meneliti tatacara orang kaya berkata-kata? Setujukah anda jika saya mengatakan bahawa secara kebiasaannya tutur mereka pasti sedikit angkuh walupun bukan semua orang kaya begitu?

Biasanya, jika kita mendengar tutur mereka pasti mepunyai campuran bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Walau bagaimanpun, kali ini saya ingin perlihatkan kepada rakan-rakan pembaca bahawa terdapat banyak ‘penyindiran’ yang terluah apabila mereka berkata-kata. Hal tersebut mungkin sahaja berlaku disebabkan kesengajaan mahupun sebaliknya. Berikut merupakan contoh dialog antara mak Mah dan Razif:

Mak Mah : Tak tidur lagi Razif?
Razif : Tak boleh tidur la, panas sangat kat dalam tu.
Mak Mah : Kenapa kamu tertepuk-tepuk tu?
Razif : Nyamuk banyak la.
            
        Berdasarkan dialog di atas, kita pastinya tahu bahawa Razif merupakan individu yang tidak biasa tidur dalam keadaan yang agak panas serta tidak selesa dengan hurungan nyamuk. Jika diperhatikan, sungguhpun ayat yang digunakan oleh Razif itu dituturkan dengan cara selembutnya, namun makna yang tersirat dalam ayat tersebut tetap jelas. Razif sebenarnya menyindir keadaan rumah Mak Mah yang panas dan banyak nyamuk. Secara tersiratnya, Razif merupakan seorang yang kaya, biasa tidur dalam keadaan yang dingin (aircond) serta tiada hurungan nyamuk (kelambu).
            
           Sememangnya bahasa sindiran merupakan salah satu gaya bahasa, namun sindiran angkuh seperti dalam contoh dialog di atas itu merupakan sindiran yang harus kita tolak sekerasnya. Walau bagaimanapun, itulah salah satu simbol yang terdapat dalam kalangan orang kaya di sekeliling kita.
           
    Kesimpulannya, ingin saya nyatakan bahawa bahasa penyindiran juga merupakan salah satu simbol bahasa bagi mereka yang kaya, khususnya ketika berhadapan dengan masyarakat yang miskin. Mereka cenderung untuk membuat perbandingan antara diri mereka dengan masyarakat miskin. Justeru, bolehkah saya menganggap bahasa juga sebagai salah satu simbol bagi orang kaya? Fikir-fikirkan.


“KALIMAH AKAL : BAHASA SIMBOL STATUS”