Ahad, 6 Februari 2011

SITUASI: TETUANG UDARA

Tetuang udara atau kini dipanggil radio sinonim dengan wadah penyampai hiburan kepada pendengar. Walau bagaimanapun, terdapat juga stesen tetuang udara yang bersikap perihatin kepada masyarakat dengan menyediakan segmen-segmen yang dapat saya sifatkan sungguh bermanfaat, misalnya segmen belajar bacaan al-Quran dan belajar bahasa, sama ada bahasa Melayu, bahasa Inggeris juga bahasa Jepun. Sungguh saya sangat kagum dengan keperihatinan terhadap nilai sosial yang dipamerkan oleh stesen tetuang udara tersebut. Stesen tetuang udara yang saya maksudkan ialah stesen tetuang udara Pahang FM yang berfrekuensi 107.5 MHz. Kebetulan, ketika saya menukarkan ke frekuensi 107.5 MHz tersebut saya mendengar segmen mempelajari bahasa Melayu yang bertajuk penjodoh bilangan. Berikut merupakan antara contoh penjodoh bilangan:
1)      Sebuah pendapat
2)      Sebuah pandangan
3)      Sebuah kenangan
4)      Sebuah alasan
5)      Sebuah cita-cita
6)      Segulung harapan
Berdasarkan contoh di atas, pada fikiran anda adakah pengunaan penjodoh bilangan tersebut betul atau salah?

Menurut tatabahasa bahasa Melayu penggunaan penjodoh bilangan seperti contoh di atas  adalah salah. Hal ini demikian kerana, penjodoh bilangan tidak boleh digunakan bagi kata nama yang bersifat abstrak. Sebagai hujahannya, kita tidak mampu melihat kata nama yang bersifat abstrak seperti yang diperkatakan. Oleh itu, masakan kita dapat memberi penjodoh bilangan yang khusus bagi kata nama abstrak tersebut.

Berdasarkan kajian daripada pengajar segmen bahasa dalam tetuang radio tersebut, beliau perhatikan bahawa penggunaan kata nama abstrak yang disertai dengan penjodoh bilangan seperti contoh di atas sangat banyak digunakan dalam penghasilan karya sastera seperti sajak. Hal ini terjadi kerana, mungkin terdapat penulis atau penutur yang berjiwa sastera tersebut menganggap penggunaan penjodoh bilangan tersebut adalah betul di atas satu alasan iaitu sebagai keindahan bahasa dalam karya mereka. Oleh itu, mereka terdorong untuk melanggar peraturan bahasa Melayu iaitu penyalahgunaan penjodoh bilangan.

Sememangnya penggunaan contoh-contoh di atas adalah lebih indah jika diungkapkan dalam penghasilan sesebuah karya misalnya sajak, namun begitu penggunaannya adalah satu kesalahan. Oleh itu, tidak seharusnya pengkarya berusaha menghasilkan karya yang bermutu tinggi serta memberi kesan yang mendalam kepada minat dan emosi pembaca, namun dari sudut sintaksis penggunaan bahasanya adalah salah sama sekali.

Dalam satu seminar yang bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2009, Nik Safiah Karim ada menyatakan bahawa sememangnya penulis sastera diberi autoriti yang tersendiri dalam menghasilkan karya sastera, terutamanya dalam penghasilan istilah serta bahasa-bahasa yang indah. Walau bagaimanapun, mereka tidak seharusnya terus-menerus melanggar peraturan bahasa kerana kebenaran yang diberikan dalam melanggarnya adalah sangat kecil sekali iaitu 3% sahaja itu pun hanya dibenarkan jika berlaku keterpaksaan sahaja. Oleh itu, jelas bahawa penggunaan penjodoh bilangan bagi kata nama yang bersifat abstrak merupakan satu kesalahan tatabahasa dan tidak seharusnya disalahguna oleh pengkarya mahupun bukan pengkarya.

Kesimpulannya, sebagai penutur bahasa Melayu yang baik, setiap individu seharusnya mengambil serius dalam permasalahan ini. Pembaikan terhadap sesuatu kesalahan adalah sesuatu yang baik dan harus diamalkan. Oleh itu, harus diingat bahawa penjodoh bilangan tidak boleh digunakan untuk kata nama yang bersifat abtrak.


“KALIMAH AKAL: TETUANG RADIO WAHANA PENYEBARAN ILMU”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan