Ahad, 13 Februari 2011

SITUASI: PUJUK RAYU

Pada hari Sabtu bersamaan 12 Februari 2011, saya dan rakan-rakan seharian di Kem Modal Insan KEWAJA untuk menjalankan sedikit penyelidikan. KEWAJA merupakan akronim bagi Kebahagiaan Wanita dan Remaja. Kem tersebut bertujuan membantu kaum hawa yang telah terlanjur dan hamil anak luar nikah. Sewaktu berada di sana, saya terasyik melihat seorang kakak yang sedang bersungguh memujuk adiknya untuk masuk ke kem itu. Sememangnya adik beliau telah mengandung disebabkan tewas dengan pujuk rayu teman lelakinya. Menangis si adik itu kerana tidak mahu dimasukkan ke KEWAJA.
            
      Pujukan rmerupakan sejenis retorik bahasa yang sangat hebat kerana fungsinya mempengaruhi orang lain. Hal ini berkait rapat dengan psikologi manusia. Berdasarkan situasi di atas, kakak kepada si adik berusaha mempengaruhi pemikiran dan keyakinan si adik itu untuk masuk ke KEWAJA. Kehalusan berbahasa merupakan aspek yang perlu dikuasai oleh si pemujuk. Biasanya, pemujuk akan memperbanding antara kebaikan dengan keburukan sesuatu isu supaya orang yang dipujuk akan lebih terpengaruh.
            
       Bahasa yang manis dan menarik kerap diguna oleh kakak bagi mengeksploitasi emosi. Misalnya, si kakak tadi perlu menggunakan perkataan yang positif bagi mempengaruhi si adik tadi. Kata penguat merupakan kata yang perlu digunakan dalam ayat bagi situasi itu. Contohnya:

1)      Kem KEWAJA merupakan tempat yang paling baik untuk adik.
2)      Adik sungguh beruntung kerana kem KEWAJA ini sedia terima adik.
3)      Adik amat bertuah kerana mempunyai mak dan ayah angkat yang sangat perihatin dengan adik di sini.
            
     Pemujukan diguna secara meluas dalam kehidupan, selain situasi kakak memujuk si adik terdapat juga situasi lain yang sering kita hadapi. Misalnya, situasi peniaga memujuk pembeli. Kebiasaannya, pujukan berkait rapat dengan penawaran barangan dan perkhidmatan. Perkara tersebut merupakan suatu yang sangat hampir dengan diri kita. Oleh itu, kita seharusnya menjadi individu yang berhemah dalam memilih setiap tawaran tersebut.

       Pemujukan mempunyai dua unsur iaitu unsur positif dan unsur negatif. Bagi situasi kakak yang memujuk si adik tadi, itu merupakan pemujukan yang berunsur positif, manakala bagi contoh pemujukan lain iaitu situasi penjual memujuk si pembeli pula berkemungkinan terdapat kedua-dua unsur iaitu unsur positif dan unsur negatif.

    Kesimpulannya, bagi mengatasi sesuatu pujuk rayu itu seseorang individu perlulah mempunyai pemikiran yang tajam serta pertimbangan yang munasabah terhadap sesuatu perkara itu. Jika tidak, si dirayu pasti akan menerima kesan yang negatif misalnya si adik mengandung anak luar nikah, mahupun si pembeli akan kerugian besar.


“KALIMAH AKAL : PUJUK RAYU MAINAN KALBU”



Tiada ulasan:

Catat Ulasan