Pernahkah anda bermain permainan yang mampu menguji keterampilan bahasa anda? Terlihat anak saudara saya sedang bermain permainan sahibba, saya terfikir betapa bagusnya permainan itu kerana mampu memperkayakan kosa kata individu yang bermain. Sememangnya saya juga pernah bermain permainan tersebut suatu ketika dahulu dan tahu dengan jelas akan faedahnya. Berikut merupakan video permainan sahibba yang saya dapatkan dari youtube sebagai tontonan bersama:
Berdasarkan video di atas, saya berpendapat bahawa permainan sahibba merupakan salah satu permainan yang mampu menguji tahap kosa kata pemain tersebut. Sahibba atau Scrabble merupakan permainan susun kata di atas papan. Permainan sahibba dijalankan dengan cara menyusun huruf bagi membentuk perkataan yang bermakna. Berdasarkan peraturan, pemain hanya dibenarkan mengambil tujuh buah jubin huruf sahaja. Setiap huruf mempunyai nilai yang tersendiri. Nilai sesuatu huruf tersebut berbeza berdasarkan kesukaran penggunaannya dalam perkataan. Misalnya, nilai huruf vokal iaitu A, E, I, O dan U ialah 2 markah. Permainan ini mampu menguji daya pemikiran para pemain kerana mereka perlu memikirkan kosa kata yang terbaik berdasarkan tujuh buah jubin huruf yang diperolehi. Pemain yang hebat pastinya pemain yang mampu mencipta perkataan yang panjang (menggunakan tujuh buah jubin huruf) serta bervariasi. Kemenangan pemain disahkan melalui kiraan kutipan mata tertinggi.
Permainan tersebut mampu merapatkan hubungan sesama pemain selain bertukar-tukar pendapat semasa mencipta perkataan. Bergantung kepada pertandingan, pemain boleh mencipta perkataan daripada pelbagai bahasa sama ada bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa yang difahami antara pemain. Selalunya, pemain akan menggunakan kamus am bagi merujuk perkataan yang tidak difahami. Dari situ, pengetahuan terhadap kosa kata baru akan tercipta. Selain mempertajamkan minda pemain dengan kosa kata dalam sesuatu bahasa, pemain juga perlu mengira markah bagi setiap perkataan yang terbina. Secara tidak langsung, kecekapan pemain dalam menggunakan ilmu matematik juga meningkat.
Penguasaan kosa kata yang pelbagai adalah sangat penting terutamanya bagi individu yang bergelar pelajar sama ada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah bahkan juga pelajar di universiti. Sebagai contoh, dalam penulisan karangan bahasa Melayu, pelajar boleh mengaplikasikan pengetahuan terhadap kepelbagaian kosa kata bagi mencipta ayat yang menarik dan gramatis. Penguasaan kosa kata yang pelbagai mampu menyerikan lagi karangan yang dihasilkan. Melalui penghasilan karangan, kita pasti dapat membezakan sama ada individu tersebut seorang yang kaya kosa katanya atau tidak. Dalam pemberian markah bagi penulisan karangan, terdapat markah khas yang diperuntukkan terhadap pemakaian kosa kata yang menarik. Hal ini demikian kerana, penggunaan kosa kata yang bervariasi dianggap tinggi aras pemakaiannya
Selain dalam penulisan karangan, pengetahuan terhadap kosa kata yang pelbagai juga boleh diaplikasi dengan meluas terutamanya dalam bidang kesusasteraan. Misalnya, dalam penciptaan puisi seperti sajak, pantun dan lain-lain, ketertinggian pengetahuan terhadap kosa kata yang pelbagai ini sudah pasti mampu mencetuskan cita rasa tersendiri dalam pembinaan puisi. Perkataan yang terpilih pasti mempunyai unsur keindahan yang unik dan pastinya boleh membentuk ideolek seseorang penulis. Penyesuaian bagi pemilihan perkataan yang terbaik dalam sesuatu rangkap sajak juga pasti mampu digarap dengan cemerlang.
Dari sudut komunikasi interpersonal pula, seseorang yang berkosa kata tinggi pasti lebih yakin apabila diajak berbicara, berucap dan sebagainya. Pemilihan kata serta susunan tuturannya pasti teratur seperti Si Peguam yang sedang berbicara. Keyakinan untuk berbicara adalah sangat sukar untuk diperolehi. Walau bagaimanapun, dengan penguasaan kosa kata yang tinggi, keyakinan seseorang untuk berkomunikasi pasti akan meningkat.
Kesimpulannya, penguasaan kota kata boleh diperolehi melalui sebarang aktiviti dan pastinya sahibba merupakan salah satu permainan yang baik kerana dapat meningkatkan penguasaan kosa kata dalam sesuatu bahasa. Permainan tersebut seharusnya diaplikasi dalam kalangan pelajar di sekolah kerana faedahnya yang pelbagai. Selain bertujuan menarik minat para pelajar untuk menguasai kosa kata yang bervariasi. Pertandingan sahibba boleh dianjurkan oleh pihak sekolah selepas berakhirnya peperiksaan bagi mengelakkan pelajar terlibat dalam gejala negatif seperti ponteng sekolah, vandalisme dan sebagainya.
“KALIMAH AKAL : SAHIBBA PENGAYA KOSA KATA”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan