Wan 1 : Kena simpan cerita ni!
Wan 2 : Buat apa simpan? Buat berat laptop je.
Wan 1 : Mak aku nak tengok cerita ni
Wan 2 : Owh, mana mak ko tahu tentang cerita nie?
Wan 1 : Mak aku tengok gezet.
Wan 1 + wan 2 : hahahaha
Begitulah sedikit sebanyak perbualan saya dengan rakan sebilik. Cerita tersebut merujuk kepada cerita ‘Faster’ lakonan Dwayne Johnson atau lebih dikenali sebagai The Rock. Pada pendapat rakan-rakan yang membaca, apakah yang dimaksudkan dengan gezet itu? Saya cuba ketengahkan perkataan gezet kerana ibu saya juga menggunakan perkataan itu dalam mengistilahkan satu perkara. Walau bagaimanapun, saya sedikit kurang pasti mengenai ejaan yang sebenar, ejaan gezet itu adalah ejaan berdasarkan sebutan.
Sering kali berlaku tafsiran yang berbeza kerana manusia mempunyai daya pemikiran serta pendapat yang berbeza. Mungkin ada juga yang langsung tidak dapat membuat tafsiran kerana jarang sekali kita mendengar perkataan itu. Jika dilihat dari sudut homofon, dalam bidang geografi, perkataan tersebut bermaksud mewartakan, mengumumkan atau mengisytiharkan tetapi itu gazet. Walau bagaimanapun, dalam situasi di atas makna gezet yang sebenarnya adalah ‘sedutan atau permulaan cerita’. Bagaimana? Pernahkah anda mendengarnya?
Selepas itu saya bertanya kepada rakan saya lagi:
Wan 2 : Mak ko umur berapa Wan?
Wan 1 : 49 tahun
Sebenarnya, saya bertanya dengan tujuan mahu mengetahui adakah penggunaan kata gezet itu hanya diketahui oleh orang-orang tua sahaja atau tidak? Tentunya pertanyaan saya tadi tidak mampu memberi petunjuk yang tepat dalam usaha saya menyelidik asal usul perkataan itu. Perkataan gezet tiada dalam kamus dewan.
Kemudian, saya teringat pula keluarga rakan saya itu berasal dari Melaka, iaitu negeri kelahiran keluarga saya juga, jadi mungkinkah kata gezet itu hanya biasa digunakan dalam kalangan orang Melaka sahaja? Saya fikir itu bukan jawapannya yang tepat, walaupun sememangnya terdapat sedikit kerelevanan.
Terfikir pula saya, mungkinkah itu bahasa Inggeris? Hal ini demikian kerana, sistem pendidikan dahulu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Oleh itu, mungkin gezet itu merupakan kata pinjaman. Setelah membelek kamus Inggeris, saya rasa penyelidikan saya seperti hampir terjawab. Jika mahu dicari perkataan yang mempunyai ejaan sama pastinya tiada, oleh itu saya mencari perkataan berdasarkan bunyi gezet itu dan saya beroleh jawapan get set yang bermaksud ‘sedia untuk bermula’. Dalam situasi di atas, get set merujuk kepada sedutan cerita yang akan bakal ditayangkan.
Mengapa saya pilih get set sebagai asal usul perkataan gezet? Hujahan saya ialah kita menyebut sy dalam bahasa Inggeris sebagai z. Contohnya:
- . Busy = bizi
- Easy = izi
- Daisy = dezi
- Get set = gezet
Justeru, saya beranggapan adalah sangat cocok apabila get set menjadi gezet. Maklum sajalah, sebutan orang tua-tua yang kurang berpendidikan. Zaman dahulu orang hidup susah, jadi belajar pun tak semenggah kerana kerja menjadi keutamaan mereka untuk meneruskan keberlangsungan hidup. Oleh itu, kekeliruan dalam sebutan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris yang menjadi pengantar pendidikan pada suatu ketika dahulu adalah langsung tidak mustahil.
“KALIMAH AKAL : BAHASA INGGERIS PUNYA PENGARUH BESAR DALAM PERTUTURAN KITA”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan