Ketika saya bersiap-siap untuk keluar makan malam, tiba-tiba saya terdengar suara yang datangnya dari luar bilik. Dengar sahaja saya sudah dapat meneka gerangan orang yang bersuara itu. Memang terdapat dua insan yang berperwatakan lembut dalam rumah saya. Saya secara sengaja mencuri dengar perbualan yang berlaku antara rakan “sepersatuan” itu. Berikut merupakan perbualan mereka yang tertanggap di cuping telinga saya:
P1 : Noq! kachmuk ya mamat tadi.
P2 : Ye la noq! putih, tinggi dan sasa.
P1 : Nyem sekal !! hahahaha.
P2 : Gituuuuuuu!!!
P1 : Eh noq, I lupa bawa kunci la tadi!
P2 : Hurmmm, macam mana nak masuk ni noq?
P1 : Ambil la kasut noq, kita ketuk je tombol pintu tu.
P2 : Ok la, mane kasut U noq?
P1 : Kasut I tak boleh la noq! Kasut I lembut.
P2 : Oh, lembut macam U la noq ye? Hahaha.
Lebih kurang begitulah perbualan yang berlangsung di antara P1 dan P2. Mungkin sukar untuk kita memahami perkara yang dibualkan oleh mereka kerana terdapat banyak kata-kata rahsia yang digunakan. Walau bagaimanapun, setelah saya cuba mendekatkan diri dengan P1 dan P2 selepas saya balik dari makan malam, akhirnya saya memperoleh jawapannya. Memang tidak banyak yang mereka kongsikan dengan saya. Hal ini demikian kerana, perkara tersebut sememangnya telah menjadi rahsia tersendiri dalam ahli persatuan mereka. Walau bagaimanapun, saya berpuas hati juga kerana penjelasan yang mereka berikan sudah cukup untuk saya memahami dialog mereka seperti yang telah saya terangkan di atas. Menurut mereka, ahli persatuan itu kebanyakannya berasal dari Sarawak.
Saya merasakan “ahli persatuan” di atas sungguh kreatif dalam mencipta rahsia kata supaya perbualan mereka tidak diketahui oleh orang ramai. Sebagai contoh, mereka menggunakan kata akronim yang berbentuk sesedap sebutan antaranya “kachmuk” dan “nyem sekal”. Kata mereka “kachmuk” bermaksud kacak muka. Berdasarkan pemerhatian leksikal saya selepas meminta P2 mengeja perkataan tersebut, saya mendapati huruf ‘h’ terisi dalam perkataan “kachmuk” itu. Oh! rupa-rupanya “kachmuk” bukan “kacmuk” seperti yang saya fikirkan pada awalnya. Daripada pemerhatian leksikal itu saya membuat kesimpulan awal bahawa terdapatnya pengaruh bahasa Melayu Sarawak dalam perkataan tersebut. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu Sarawak mengertikan “kachak” sebagai cantik atau tampan. Begitu juga dengan perkataan “nyem sekal” yang bermaksud sedap sekali. Pada fikiran saya, “nyem” mungkin berasal daripada perkataan “nyaman” yang dalam bahasa Melayu Sarawak diertikan sebagai sedap. Oleh kerana pengaruh sesedap sebutan mereka “nyaman” bertukar menjadi “nyem” manakali sekali dipermudahkan menjadi “sekal”.
Kesimpulan akhir yang dapat saya buat melalui perbualan dengan P1 dan P2 tersebut adalah terdapat pengaruh bahasa Melayu Sarawak dalam rahsia kata yang mereka ciptakan. Kesimpulan akhir yang saya buat tersebut sememangnya tidak menjadi kehairanan kerana pada peringkat awal perbualan antara saya, P1 dan P2 tadi mereka terlebih dahulu telah menyatakan bahawa ahli dalam persatuan mereka kebanyakannya berasal dari Sarawak.
Berdasarkan rahsia kata tersebut dapat kita lihat secara positif dan ilmiahnya bahawa antara ciri bahasa Melayu ialah bervariasi. Maksudnya, wujudnya kepelbagaian bahasa yang terdapat dalam masyarakat penuturnya. Faktor yang menyumbang kepada kevariasian bahasa antaranya ialah status sosial dan latar pendidikan. Dalam hal ini, P1 dan P2 bolehlah kita rujuk sebagai mereka yang terisi dalam latar belakang sosial yang tersendiri, seterusnya membentuk dialek sosial (sosiolek) yang hanya difahami oleh mereka sahaja. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa dalam kalangan ahli persatuan tersebut sebenarnya adalah sesuatu yang negatif dan mencemarkan bahasa Melayu kita. Oleh itu, saya ingin menyarankan kepada diri saya sendiri dan semua pembahasa supaya gunakanlah bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.
"KALIMAH AKAL – BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"
pendengaran ko sangat teliti. aku pulak yang geli hati. kih3x
BalasPadamsituasi itu suatu yang realiti,
BalasPadambikin pembahasa susah hati kerana tidak reti,
harap tiada yang sakit hati,
mari kita sama-sama perhati, sedari dan pelajari,
bahasa Melayu yang sejati,
bahasa ibunda kita sendiri..sekian