Kita sering dicanangkan dengan berita mengenai pemandu yang tidak berhemah, antaranya melanggar lampu isyarat, memandu laju dan salah parkir. Walau bagaimanapun, hari ini aku berjumpa dengan seorang pemandu lori yang sungguh berhemah. Kejadian ini berlaku di sebatang jalan yang kecil berhampiran dengan stesen KTM Tanjung Malim.
Aku rasa sungguh senang kerana egonya tidak sebesar lori 5 tan yang bertayar enam itu. Sememangnya aku memang sudah “makan jalan” sedikit bagi mengelak lubang yang agak besar dan dalam itu kerana ia berada pada arah haluan keretaku. Ketika aku melintasi lubang itu tiba-tiba muncul sebuah lori dari arah hadapan. Pada mulanya aku melihat lori yang membawa angkutan tong gas itu seperti tidak mahu mengalah sahaja. Sangka aku pemandu itu tidak mungkin akan ke tepi kerana dalam situasi itu sememangnya aku yang bersalah kerana sudah “makan jalan” orang. Walau bagaimanapun, lori itu secara tiba-tiba mengubah haluannya ke tepi sehingga turun ke bahu jalan yang agak rendah daripada permukaan jalan raya yang bertar. Senget lori itu ku lihat kerana tiada keseimbangan, tinggi di sebelah kanan dan rendah di sebelah kiri. Sebenarnya sudah cukup baik jika pemandu lori itu berhenti seketika, bagi memberi laluan pada aku melintasi lubang itu dahulu. Sejurus melimpasi lori itu, aku perasan pemandu itu merupakan seorang lelaki India. Berikut merupakan komunikasi yang berlaku antara aku dengan pemandu lori itu:
Segera aku mengangkat tangan tanda mengucapkan terima kasih kepadanya. Sejurus itu, pemandu lori tersebut memberi tindak balas kembali dengan mengangkat tangannya serta melemparkan senyuman tanda beliau faham akan situasi aku tadi.
Selepas peristiwa yang berlaku itu fikiran aku terus melayang memikirkan peribadi pemandu di jalan raya. Oh! sungguh senang hatiku kerana bertemu dengan pemandu yang berbudi bahasa itu. Jika tidak, sudah tentu aku dimarahi dan dimaki hamun olehnya, sungguhpun dalam situasi itu sebenarnya aku berkeadaan terpaksa. Sememangnya masih ada pemandu yang mempunyai sifat berhemah tinggi dan pemandu lori berketurunan India yang aku temu tadi merupakan salah seorang daripadanya. Pada aku, sangat tinggi nilai bahasa badan yang ditunjukkannya sebagai tindak balas daripada bahasa badan yang aku berikan. Sungguhpun hanya mengangkat sebelah tangan sahaja, namun tindakan itu sememangnya sangat hebat menyentuh emosi aku.
Kesimpulannya, dapat aku katakan bahawa begitu pentingnya sikap berhemah tinggi dalam diri manusia ini. Bukan sahaja dalam situasi pemanduan di jalan raya, malahan dalam segala urusan sosialiti. Sesungguhnya, manusia sangat memerlukan kemaafan bagi setiap kesalahan yang dilakukannya. Tunjukkanlah nilai yang baik walau hanya dengan menggunakan bahasa badan sahaja. Sedangkan nabi ampunkan umatnya, apatah lagi kita yang kecil kedudukannya ini. Selamat beramal.
“KALIMAH AKAL : BAHASA BADAN BAHASA KOMUNIKASI”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan