Selasa, 25 Januari 2011

SITUASI: MANIPULASI KATA


Bahasa merupakan wadah dalam penyampaian maklumat. Sama seperti bahasa dalam pengajaran di sekolah begitu jugalah penggunaan bahasa dalam aktiviti perniagaan. Hari ini saya temui satu contoh penggunaan bahasa yang telah dimanipulasi oleh pihak pengeluar atau penjual sesuatu produk. Pemanipulasian tersebut bertujuan untuk menarik atau merangsang minat pembeli. Berikut merupakan contoh seperti yang saya perkatakan:


Berdasarkan visual tersebut, dapat kita perhatikan perkataan “sedap” dieja secara bervariasi “sodap” dan “sedaap”. Kita mungkin dapat menerima perkataan “sodap” sebagai pemurnian daripada perkataan sedap dengan tujuan untuk mempromosi kerana perkataan “sodap” terdapat dalam dialek Kedah. Walau bagaimanapun, penggunaan perkataan “sedaap” bagi menggantikan perkataan sedap sememangnya tidak dapat diterima. Alasan yang mungkin diberikan oleh pengeluar produk makanan tersebut ialah “Mi Sedaap” merupakan kata nama khas bagi mi tersebut. Oleh hal yang demikian, daripada sudut semantik dan pragmatik bahasa Melayu, dapat saya nyatakan bahawa “mi sedaap” merupakan nama mi tersebut, sebaliknya bukan bermaksud mi tersebut berasa sedap apabila dimakan. Perkara ini sememangnya mampu menimbulkan kesalahfahaman pembeli ketika mentafsir perkataan tersebut.

         Dari sudut pola keselarasan suku kata iaitu di bawah aspek fonologi, “sedaap” boleh dipenggalkan menjadi se/da/ap (kv+kv+vk) tetapi berlainan dengan cara kita menyebut mi tersebut sebagai mi se/daap (kv+kvvk). Sebagai pengetahuan bersama, dalam bahasa Melayu tiada ejaan asli bahasa Melayu yang bersuku kata (kvvk), bahasa yang mempunyai pola keselarasan suku kata tersebut ialah bahasa Inggeris dan mungkin juga bahasa-bahasa lain. Pastinya, suku kata tersebut bukan dalam bahasa Melayu. Oleh itu, saya membuat hipotesis bahawa, kata “sedaap” tersebut sebenarnya berasal daripada kata “sedap up” iaitu bahasa rojak, tetapi cuba disesuaikan oleh pengeluar dengan sebutan orang yang berbahasa Melayu serta dikreatifkan mereka dengan mencantumkan kedua-dua perkataan tersebut mengikut sesedap sebutan (sedap up=sedaap).

        Perkara tersebut merupakan salah satu bentuk penipuan yang terdapat dalam aktiviti perniagaan. Pada pendapat saya, pengeluar telah memanipulasi bahasa sebagai suatu promosi perniagaan sehingga mempengaruhi persepsi pengguna terhadap perkataan tersebut. Oleh hal yang demikian, dapat saya simpulkan bahawa “mi sedaap” sebenarnya bukan merujuk kepada nama mi tersebut tetapi merujuk kepada rasa mi yang begitu sedap sehingga terangkat apabila dimakan. Walau bagaimanapun, mereka menyalahgunakan perkataan “mi sedap up” tersebut menjadi “Mi Sedaap” dan menganggap sebagai suatu kata nama khas. Pemanipulasian kata tersebut terpaksa dihalalkan walaupun penggunaannya adalah salah kerana dengan andaian “Mi Sedaap” merupakan kata nama khas bagi makanan segera tersebut.


“KALIMAH AKAL : BAHASA MENGINTERPRETASI PERASAAN"


Ahad, 23 Januari 2011

SITUASI : RAHSIA KATA

Ketika saya bersiap-siap untuk keluar makan malam, tiba-tiba saya terdengar suara yang datangnya dari luar bilik. Dengar sahaja saya sudah dapat meneka gerangan orang yang bersuara itu. Memang terdapat dua insan yang berperwatakan lembut dalam rumah saya. Saya secara sengaja mencuri dengar perbualan yang berlaku antara rakan “sepersatuan” itu. Berikut merupakan perbualan mereka yang tertanggap di cuping telinga saya:

P1 : Noq! kachmuk ya mamat tadi.
P2 : Ye la noq! putih, tinggi dan sasa.
P1 : Nyem sekal !! hahahaha.
P2 : Gituuuuuuu!!!
P1 : Eh noq, I lupa bawa kunci la tadi!
P2 : Hurmmm, macam mana nak masuk ni noq?
P1 : Ambil la kasut noq, kita ketuk je tombol pintu tu.
P2 : Ok la, mane kasut U noq?
P1 : Kasut I tak boleh la noq! Kasut I lembut.
P2 : Oh, lembut macam U la noq ye? Hahaha.

Lebih kurang begitulah perbualan yang berlangsung di antara P1 dan P2. Mungkin sukar untuk kita memahami perkara yang dibualkan oleh mereka kerana terdapat banyak kata-kata rahsia yang digunakan. Walau bagaimanapun, setelah saya cuba mendekatkan diri dengan P1 dan P2 selepas saya balik dari makan malam, akhirnya saya memperoleh jawapannya. Memang tidak banyak yang mereka  kongsikan dengan saya. Hal ini demikian kerana, perkara tersebut  sememangnya telah menjadi rahsia tersendiri dalam ahli persatuan mereka. Walau bagaimanapun, saya berpuas hati juga kerana penjelasan yang mereka berikan sudah cukup untuk saya memahami dialog mereka seperti yang telah saya terangkan di atas. Menurut mereka, ahli persatuan itu kebanyakannya berasal dari Sarawak.

Saya merasakan “ahli persatuan” di atas sungguh kreatif dalam mencipta rahsia kata supaya perbualan mereka tidak diketahui oleh orang ramai. Sebagai contoh, mereka menggunakan kata akronim yang berbentuk sesedap sebutan antaranya “kachmuk” dan “nyem sekal”. Kata mereka “kachmuk” bermaksud kacak muka. Berdasarkan pemerhatian leksikal saya selepas meminta P2 mengeja perkataan tersebut, saya mendapati huruf ‘h’ terisi dalam perkataan “kachmuk” itu. Oh! rupa-rupanya “kachmuk” bukan “kacmuk” seperti yang saya fikirkan pada awalnya. Daripada pemerhatian leksikal itu saya membuat kesimpulan awal bahawa terdapatnya pengaruh bahasa Melayu Sarawak dalam perkataan tersebut. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu Sarawak mengertikan “kachak” sebagai cantik atau tampan. Begitu juga dengan perkataan “nyem sekal” yang bermaksud sedap sekali. Pada fikiran saya, “nyem” mungkin berasal daripada perkataan “nyaman” yang dalam bahasa Melayu Sarawak diertikan sebagai sedap. Oleh kerana pengaruh sesedap sebutan mereka “nyaman” bertukar menjadi “nyem” manakali sekali dipermudahkan menjadi “sekal”.

Kesimpulan akhir yang dapat saya buat melalui perbualan dengan P1 dan P2 tersebut adalah terdapat pengaruh bahasa Melayu Sarawak dalam rahsia kata yang mereka ciptakan. Kesimpulan akhir yang saya buat tersebut sememangnya tidak menjadi kehairanan kerana pada peringkat awal perbualan antara saya, P1 dan P2 tadi mereka terlebih dahulu telah menyatakan bahawa ahli dalam persatuan mereka kebanyakannya berasal dari Sarawak.

Berdasarkan rahsia kata tersebut dapat kita lihat secara positif dan ilmiahnya bahawa antara ciri bahasa Melayu ialah bervariasi. Maksudnya, wujudnya kepelbagaian bahasa yang terdapat dalam masyarakat penuturnya. Faktor yang menyumbang kepada kevariasian bahasa antaranya ialah status sosial dan latar pendidikan. Dalam hal ini, P1 dan P2 bolehlah kita rujuk sebagai mereka yang terisi dalam latar belakang sosial yang tersendiri, seterusnya membentuk dialek sosial (sosiolek) yang hanya difahami oleh mereka sahaja. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa dalam kalangan ahli persatuan tersebut sebenarnya adalah sesuatu yang negatif dan mencemarkan bahasa Melayu kita. Oleh itu, saya ingin menyarankan kepada diri saya sendiri dan semua pembahasa supaya gunakanlah bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.

"KALIMAH AKAL – BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Sabtu, 22 Januari 2011

SITUASI : PEMANDU BERHEMAH

Kita sering dicanangkan dengan berita mengenai pemandu yang tidak berhemah, antaranya melanggar lampu isyarat, memandu laju dan salah parkir. Walau bagaimanapun, hari ini aku berjumpa dengan seorang pemandu lori yang sungguh berhemah. Kejadian ini berlaku di sebatang jalan yang kecil berhampiran dengan stesen KTM Tanjung Malim.

Aku rasa sungguh senang kerana egonya tidak sebesar lori 5 tan yang bertayar enam itu. Sememangnya aku memang sudah “makan jalan” sedikit bagi mengelak lubang yang agak besar dan dalam itu kerana ia berada pada arah haluan keretaku. Ketika aku melintasi lubang itu tiba-tiba muncul sebuah lori dari arah hadapan. Pada mulanya aku melihat lori yang membawa angkutan tong gas itu seperti tidak mahu mengalah sahaja. Sangka aku pemandu itu tidak mungkin akan ke tepi kerana dalam situasi itu sememangnya aku yang bersalah kerana sudah “makan jalan” orang. Walau bagaimanapun, lori itu secara tiba-tiba mengubah haluannya ke tepi sehingga turun ke bahu jalan yang agak rendah daripada permukaan jalan raya yang bertar. Senget lori itu ku lihat kerana tiada keseimbangan, tinggi di sebelah kanan dan rendah di sebelah kiri. Sebenarnya sudah cukup baik jika pemandu lori itu berhenti seketika, bagi memberi laluan pada aku melintasi lubang itu dahulu. Sejurus melimpasi lori itu, aku perasan pemandu itu merupakan seorang lelaki India. Berikut merupakan komunikasi yang berlaku antara aku dengan pemandu lori itu:

Segera aku mengangkat tangan tanda mengucapkan terima kasih kepadanya. Sejurus itu, pemandu lori tersebut memberi tindak balas kembali dengan mengangkat tangannya serta melemparkan senyuman tanda beliau faham akan situasi aku tadi.
Selepas peristiwa yang berlaku itu fikiran aku terus melayang memikirkan peribadi pemandu di jalan raya. Oh! sungguh senang hatiku kerana bertemu dengan pemandu yang berbudi bahasa itu. Jika tidak, sudah tentu aku dimarahi dan dimaki hamun olehnya, sungguhpun dalam situasi itu sebenarnya aku berkeadaan terpaksa. Sememangnya masih ada pemandu yang mempunyai sifat berhemah tinggi dan pemandu lori berketurunan India yang aku temu tadi merupakan salah seorang daripadanya. Pada aku, sangat tinggi nilai bahasa badan yang ditunjukkannya sebagai tindak balas daripada bahasa badan yang aku berikan. Sungguhpun hanya mengangkat sebelah tangan sahaja, namun tindakan itu sememangnya sangat hebat menyentuh emosi aku.

Kesimpulannya, dapat aku katakan bahawa begitu pentingnya sikap berhemah tinggi dalam diri manusia ini. Bukan sahaja dalam situasi pemanduan di jalan raya, malahan dalam segala urusan sosialiti. Sesungguhnya, manusia sangat memerlukan kemaafan bagi setiap kesalahan yang dilakukannya. Tunjukkanlah nilai yang baik walau hanya dengan menggunakan bahasa badan sahaja. Sedangkan nabi ampunkan umatnya, apatah lagi kita yang kecil kedudukannya ini. Selamat beramal.


“KALIMAH AKAL : BAHASA BADAN BAHASA KOMUNIKASI”


SITUASI : SESI PENGGAMBARAN

Situasi ini berlaku ketika sesi penggambaran selepas berakhirnya seminar wacana ilmu yang bertajuk Isu-isu Sosiolinguistik di Malaysia. Seminar tersebut disampaikan oleh Profesor. Awang Sariyan iaitu salah seorang tokoh bahasa Negara yang dikenali ramai. Adat bergambar pastinya untuk dijadikan kenang-kenangan bersama. Pemetik picu kamera terus menjalankan tugasnya untuk menghasilkan kenangan bersama itu:
Baiklah, semua bersedia.
Yang berada di hujung rapat sedikit,
Jangan tutup mata, semua senyum
One, two, three (picu kamera ditekan)
One more,
One, two, three (picu kamera ditekan)
Sebentar ya,
Ada satu lagi kamera.

Secara spontan Profesor Emeretus Abdullah Hassan menegur dengan berhemah tetapi tentunya punyai makna yang sungguh mendalam sesuai dengan tajuk seminar yang diadakan sebentar tadi. Dengan senyuman beliau berkata “Cuba kamu menggunakan bahasa Melayu”. Pemetik picu kamera tersenyum tanda beliau memahaminya. Pemetik picu kamera kembali menjalankan tugasnya:
Baiklah, sedia.
Buka mata,
Senyum,
Satu, dua, tiga (picu kamera ditekan)
Sekali lagi
Satu, dua, tiga (picu kamera ditekan)

Dalam situasi di atas, dapat kita lihat dengan jelas bahawa terdapat percampuran bahasa. Sememangnya tidak dapat dinafikan kebanyakan pemetik picu kamera akan berdialog seperti itu, iaitu menggunakan bahasa Inggeris dalam pengiraan tersebut, malahan aku juga pasti salah seorang yang terisi dalam kalangan mereka jika saya sendiri yang ditugaskan menekan picu kamera tersebut kerana saya juga mempunyai kelemahan yang sama. Sememangnya tiada yang berlainan pun jika penggunaan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam situasi di atas. Hal ini demikian kerana, ayat-ayat yang terucap masih sedap di dengar malahan lebih seragam penggunaan bahasanya.

Seharusnya, itulah tugas kita sebagai rakyat yang mencintai negara. Menggunakan bahasa Melayu secara meluas seiring dengan tuntutan perlembagaan yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Kita seharusnya tidak memandang enteng tentang pemakaian bahasa tersebut walau dalam sekecil-kecil perkara. Bukanlah maksudkan tidak menyokong bahasa Inggeris tetapi apabila kita menyusun ayat cubalah sedaya upaya untuk tidak mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Jika mahu berbahasa melayu berbahasalah dengan sebenar-benarnya, begitu juga sebaliknya, jika mahu berbahasa Inggeris berbahasalah dengan sebenar-benarnya. Sama-samalah kita perbaiki kesilapan untuk memartabatkan bahasa kita.

“KALIMAH AKAL : BAHASA MELAYU DIMARTABATKAN, BAHASA INGGERIS DIPERKUKUHKAN”


Khamis, 20 Januari 2011

SITUASI : HORMAT

Wan, Azan Asar itu sudah habis ke? Aku dengar baru sampai “Haiyaalal falah” yang pertama. Betol ke Shahir? Aku tak perasan la Shahir sebab aku sibuk dengan kerja tadi. Mungkin ada masalah pembesar suara di surau itu.
Keesokan harinya, aku hadir ke kelas Pembangunan Modal Insan. Selaras dengan kursus tersebut kami juga membicarakan perkara-perkara yang berkaitan keinsanan. Tiba-tiba rakanku membuka cerita tentang laungan azan yang terpaksa diperlahankan bagi mengalunkan lagu Negaraku sejurus kedatangan seseorang yang berjawatan. Adakah itu sesuatu yang wajar? Nampaknya, benar kata shahir yang Azan Asar semalam hanya kedengaran sehingga kalimah Haiyaalal falah” sahaja. Oh! sungguh aku tersentak, kenapa boleh jadi begitu? Bukan niatku mencari siapa yang bertanggungjawab terhadap perkara yang berlaku? Aku hanya terfikir bagaimana kita sebagai rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam membezakan rasa hormat kita terhadap “laungan azan” dan “alunan lagu Negaraku”?

Sememangnya, rasa hormat terhadap “laungan azan” dan “alunan lagu Negaraku” harus ada dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia yang sejati. Walau bagaimanapun, apabila laungan azan diperlahankn bagi mengalunkan lagu Negaraku kerana seseorang yang dihormati telah tiba, saya fikir perkara itu adalah sesuatu yang tidak  wajar. Seharusnya, biarlah laungan azan itu berkumandang terlebih dahulu hingga ke akhirnya, bukan lama sangat, sudah sampai kalimah Haiyaalal falah” pun. Tambahan, lagu Negaraku juga masih belum bermula, jadi tiada salahnya jika alunan lagu negaraku dimainkan selepas laungan azan berkumandang. Saya fikir, jika seseorang yang berjawatan itu benar-benar Islam zahir dan batinnya, beliau tentu memahami situasi yang berlaku itu. Oleh itu, tiada yang perlu ditakuti melainkan Tuhan pencipta alam. Tiada yang berkuasa malainkn diri-Nya sahaja. Darjat kita juga dianugerahkan oleh-Nya. Oleh itu, setinggi mana kita berada ingatlah, diri-Nya jauh lebih tinggi dan mulia untuk kita hormati. Hanya dari-Nya keharmonian negara dapat kita kecapi dan kekal hingga ke hari ini.

Tautan akal penambah informasi kita bersama :
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PeguamSyarieMenulis_Pengajaransebalikkontroversiazan/Article/index_html

"KALIMAH AKAL : UNTUK DIHORMATI KITA PERLU MENGHORMATI"

Isnin, 17 Januari 2011

SITUASI : PENGACARAAN

Pada pagi kelmarin, terdapat satu Pertandingan Bacaan Puisi yang disertai oleh ramai pemuisi. Saya kehairanan kerana pertandingan yang bersifat ilmiah itu hanya diacarakan seperti pertandingan wrestling di dalam kaca televisyen sahaja. Kelantangan nada suaranya agak tinggi, mungkin juga boleh disamakan seperti seseorang yang diberi tanggungjawab untuk mengacarakan Pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL). Kata teman saya, pengacara tersebut mahu membangkitkan suasana ceria pada waktu pagi agaknya. Saya menoleh untuk mengetahui siapakah pengacara tersebut? Oh, akhirnya saya perasan bahawa pengacara tersebut adalah pelajar dari jurusan Pendidikan Seni Muzik. Saya mengetahui kerana saya sendiri mengenali pengacara itu. Berikut merupakan beberapa ayat yang diungkapkan oleh pengacara tersebut:


“Baiklah! sekarang tiba giliran Sipolan bin Sinpolan untuk menyampaikan sajak yang bertajuk … Begitulah dendangan sebuah sajak yang sangat menguntum jiwa kita. Nampaknya, pertandingan bacaan puisi kali ini semakin sengit kerana terdapat pemuisi-pemuisi yang sangat berbakat. Seterusnya! pemuisi ini akan menyampaikan sebuah syair yang bertajuk …, peserta tersebut ialah Sipolan binti Sipolan. Yeahhhh!!! begitu menghayati sekali nampaknya penyair itu tadi.”

Begitulah pengacara tersebut mengacarakan Pertandingan Bacaan Puisi dari awal hingga ke akhirnya. Saya melihat situasi tersebut adalah sesuatu yang tidak sesuai. Pada pandangan saya, adalah tidak wajar pertandingan yang bersifat ilmiah diacarakan sama seperti dengan mengacarakan pertandingan AJL. Mungkin pengacara tersebut telah terbiasa dengan tugas pengacaraannya dalam sebarang pertandingan yang dianjurkan oleh fakulti beliau iaitu Fakulti Muzik. Oleh hal yang demikian, beliau turut mengacarakan pertandingan yang bersifat ilmiah sama sahaja seperti mengacarakan Pertandingan Muzik-muzik. Lebih sesuai rasanya jika pengacara pertandingan ilmiah itu dipilih dalam kalangan pelajar dari jurusan Bahasa dan Komunikasi. Kepada penganjur pertandingan tersebut fikir-fikirkanlah.


"KALIMAH AKAL : PENGACARAAN HARUSLAH BERSESUAIAN DENGAN ACARA"


Jumaat, 14 Januari 2011

KALIMAH PERTAMA

Assalamualaikum,
Ini sekadar satu percubaan, dalam proses membiasakan diri dengan dunia blog. Mudah-mudahan segalanya berjalan dengan lancar. Sekian.