Ahad, 6 Februari 2011

SITUASI: 10%

“PTPTN dah masuk! Cma jum kita pergi Jusco, aye nak beli kasut ni.” kataku seraya tersenyum apabila mendapati amaun dalam akaun Bank Islam aku bertambah menjadi RM2???.60. Setibanya di pasar raya itu aku berjalan sendirian mencari barang yang ingin aku beli. Dari satu kedai ke satu kedai aku masuk dan pantau seperti polis, juga bertanya kualiti, harga, dan diskaun seperti mata-mata yang sedang merisik. Nampaknya di kedai Barry aku sudah mempunyai sasaran untuk diberkas:

  Jurujual 1 : Ini kasut manyak cantik, diskaun 50%.
  Saya         : Memang cantik, tapi saya tak minatlah auntie.
  (Tiba-tiba aku terpandang sepasang kasut).
  Saya         : Ha! Yang ni ada diskaun tak auntie?
  Jurujual 1 : Itu baru punya, diskaun 10%. Boleh try lor.
  Saya         : Oh, takpe auntie. Saya tengok-tengok je dulu. 

Sememangnya jurujual 1 itu sangat peramah dalam melayan pelanggan. Selepas seketika melihat kasut-kasut di kedai itu, aku beredar ke kedai lain. Masih banyak kedai yang menjual kasut di situ serta menawarkan diskaun yang hebat, promosi sempena Raya Cina agaknya. Walau bagaimanapun, tiada satu pun kasut yang aku minati. Setelah puas membuat pemantauan, aku kembali ke kedai Barry tadi. Kali ini aku mengajak kakakku menemani untuk memberi pandangan peribadi terhadap kasut pilihan aku. 

  Jurujual 2 : Mahu cari kasut ye?
  Saya        : Ya auntie. Yang ni, ada saiz 7 tak auntie?
  Jurujual 2 : Sekejap ya dik.
  (Jurujual itu kembali bersama kasut yang aku inginkan).
  Jurujual 1 : Duduk dulu lor. Kasut tadi ah?
  Saya        : Ye auntie (Tersenyum).

Selepas beberapa ketika, jurujual 2 kembali menyusul dan membawa kasut yang bersaiz 7 seperti yang aku minta, manakala jurujual 1 beredar melayan pelanggan laindi kedai kasut itu. sememangnya pelanggan di kedai Barry memang agak ramai. Promosi sempena Raya Cina la katakan.

  Jurujual 2 : Mau cuba dulu?
  Saya         : Mestila mau auntie. Cma, cantik tak?
  Cma         : Ok jer, berapa harganya?
  Saya         : RM1**.90. Da diskaun 10%. Besar. Saiz 6 lah.

Tak lama kemudian, jurujual 2 kembali membawa kasut yang bersaiz 6.

 Jurujual 2 : Ini saiz 6.
 Saya        : Wah, yang ni saya mau. Ngam-ngam punya.

Jurujual 2 menjalankan tugasnya dengan kembali memasukkan kasut yang telah saya cuba dan yang saya pilih untuk dibeli ke dalam kotak kasut. Cma kembali kepada aku dan meminta aku belanjanya sepasang kasut. Katanya murah sahaja RM15 dan aku bersetuju. Kasut aku dan kakak ku telah dihantar ke kaunter dan aku beratur. Setibanya giliran aku, juru wang di kaunter tersebut menyebut harga. Aku agak pelik dan berasakan harganya agak mahal daripada sepatutnya. Rupa-rupanya, kasut aku tidak dipotong diskaun 10% sedangkan tadi jurujual 1 ada beritahu yang kasut itu mempunyai diskaun 10%. Juru wang itu berkata, jurujual 1 itu tidak beri diskaun jadi tiadalah. Aku tidak mahu memanjangkan pergaduhan, oleh itu aku segera membayar dan mahu berlalu pergi.

Sebelum aku berlalu, jurujual 1 sempat menyapa aku dan meminta maaf. Katanya, diskaun itu memang ada tetapi jurujual 2 itu yang tidak mahu beri. Aku menganggukkan kepala sahaja, tanda memaafkan jurujual 1 itu. belum sempat aku keluar dari pintu kedai aku dapati jurujual 1 dan jurujual 2 berbalah dengan kata. Aku tidak pasti apa-apa yang diperkatakan dan aku segera berlalu pergi.

        Kesimpulannya, ingin aku nyatakan bahawa itulah antara situasi yang sering kita alami ketika menjalankan aktiviti perniagaan. Sememangnya kita mempunyai hak untuk bersuara apabila kejadian tersebut menimpa diri. Walau bagaimanapun, haruskah aku bergaduh untuk 10% itu? Fikirku itu semua tidak perlu, mungkin peniaga itu beruntung kerana pelanggan itu adalah aku, namun jika pelanggan itu seorang yang panas baran bagaimana? Fikir-fikirkanlah apa yang bakal terjadi? Akhir sekali, peniaga tersebut haruslah memberi hak kepada pelanggan jika diskaun 10% itu telah ditetapkan. Mengapa perlu ditarik balik diskaun itu ketika ada pelanggan membeli. Bagi jurujua1, aku sememangnya memuji cara layanannya yang peramah terhadap pelanggan, tetapi tidak bagi jurujual 2 yang aku rasa kurang mesra itu. Seharusnya, pelayan di kedai tersebut perlu mempunyai komunikasi yang baik supaya tidak timbul perbalahan dalam menetapkan harga atau diskaun yang sepatutnya kerana perkara itu mampu menimbulkan kesalahahaman pembeli. Kejujuran adalah amat penting dalam urusan jual beli.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda : “Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”. Mungkin peniaga itu bukan dalam kalangan Islam, oleh itu persoalan mengenai penipuan dan riba tidak diendahkan. Walau bagaimanapun, bagi yang beragama Islam ingatlah mereka pasti akan diberi hukuman oleh Allah kerana melakukan penipuan dalam urusan jual beli.

“KALIMAH AKAL : JUJURLAH DALAM PERNIAGAAN”


SITUASI: EMOSI "RAJA"

Malam ini saya tumpang menginap di rumah seorang rakan karib iaitu Angah di Seksyen 18 Shah Alam, Selangor. Oleh sebab terlalu letih kami bercadang untuk membuat pesanan makanan dari dalam talian sahaja. Angah memberi cadangan untuk membuat pesanan McDonald’s dan saya bersetuju. Seterusnya, Angah segera mendail nombor telefon 1300-13-1300 untuk membuat pesanan. Ketika Angah sedang membuat pesanan, rakannya Rizal yang berada agak jauh berteriak dengan nadanya beremosi marah:

“Angah! Tak payah order McDonald’s. Pekerja restoran tu memang tak guna. Asyik lewat dan salah hantar pesanan je. Aku memang geram gila dengan service restoran tu. Ko buat pesanan kat restoran lain la, Pizza Hut ke?”
Teriakan tersebut sungguh kuat hingga menyapa keras gegendang telinga saya. Hampir 20minit kemudian seorang pekerja lelaki restoran itu tiba untuk menghantar makanan. Dipendekkan cerita, Angah membuka penutup cawan kertas untuk memasukkan air ke dalam bekas yang lebih besar. Alangkah terkejutnya apabila beliau mendapati terdapat beberapa ketulan kahak manusia dalam minuman yeng dipesan. Rizal berasa sungguh tercabar dan segera mengajak kami untuk pergi ke restoran tersebut, tidak dilupa minuman yang bercampur kahak tadi juga dibawa sebagai bahan bukti. Kemarahannya begitu memuncak, segala nasihat kami agar dia bersabar tidak diendahkan. Akhirnya saya dan Angah akur untuk turut serta ke restoran tersebut kerana risau memikirkan perkara yang bakal berlaku di sana nanti. Setibanya di Restoran McDonald’s tersebut adegan pertengkaran terus berlaku.

    Rizal : Siapa pengurus? Aku nak jumpa!
    Pengurus : Ye saya, ada apa yang boleh saya bantu encik?
    Rizal : Pekerja awak buang kahak dalam minuman kami!
    Pengurus : Maaf encik. Biar saya buat pemeriksaan dulu.
                    
Setelah beberapa ketika pengurus tersebut membawa seorang pekerja lelaki di restoran itu. Pekerja tersebut mengakui bahawa dia yang meludahkan kahak dalam air yang kami pesan tadi. Rizal sungguh marah dan mahu memukul pekerja tersebut, mujur sahaja saya dan Angah berjaya menahannya. Pekerja tersebut memberi alasan bahawa dia berasa sangat marah kerana terdengar suara yang mencaci pekerja di restoran itu sewaktu menerima pesanan makanan melalui pangilan telefon. Seterusnya, pekerja tersebut memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya. Sebagai tanda mohon maaf daripada pihak restoran, kami diberi ganti rugi makanan yang baru tanpa dikenakan sebarang bayaran pun.

            Berdasarkan peristiwa tersebut, saya berpendapat bahawa sebagai seorang pelanggan kita seharusnya tidak boleh menyalahgunakan kuasa kita sebagai “raja” dalam aktiviti perniagaan. Seharusnya, Rizal perlu bijak dalam mengendalikan emosinya. Saluran yang baik untuk mengatasi emosi marahnya adalah dengan mengisi borang aduan khidmat pelanggan di restoran tersebut. Pujian harus diberikan kepada pengurus restoran McDonald’s tersebut kerana bijak mengendalikan situasi tegang yang berlaku. Beliau tidak melatah sungguhpun Rizal memarahi dan mengugut pengurus tersebut untuk mengambil tindakan keras iaitu membuat aduan kepada pihak berkuasa. Bagi pekerja di restoran itu pula, seharusnya mereka bekerja dengan baik kerana tugas mereka adalah memberi khidmat yang terbaik kepada pelanggan. Herdikan dari Rizal di dalam telefon seharusnya dipandang dari sudut yang positif oleh pekerja restoran itu. Sudut positif yang dimaksudkan adalah memperbaiki kelemahan perkhidmatan yang mereka berikan kepada pelanggan.



“KALIMAH AKAL: EMOSI AKAN MEMPENGARUHI KEHIDUPAN”


SITUASI: SMS

Sememangnya pengguaan sms mampu menjimatkan masa dan kos sewaktu berurusan. SMS sering diguna dalam hal-hal harian seperti bertanya khabar, membeli barangan, meminta pertolongan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sms juga sering kali disalah guna. Kebelakangan ini kerap kali juga kita dengari sms diguna bagi tujuan yang negatif seperti menjatuhkan talak (cerai), membuat ugutan, menyebarkan fitnah dan sebagainya. Kali ini saya mahu menceritakan berkenaan kesalafahaman dalam pentafsiran mesej yang diterima.

Situasi ini berlaku pada kakak saya sendiri. Sewaktu menasihatkan saya supaya menjaga pergaulan dengan rakan-rakan agar tidak bermusuhan, beliau menceritakan pengalamannya ketika mengaji di UITM Shah Alam dahulu. Baliau yang sudah di tahun akhir, tinggal di rumah sewa, berdekatan sahaja dengan Plaza Masalam dan Masjid Besar di Shah Alam. Beliau mempunyai 7 orang rakan lain yang menginap dalam sebuah rumah sewa. Adat hidup di bumi ini, yang tua dihormati manakala yang muda dikasihi. Dipendekkan cerita satu hari, beliau menghantar sms meminta tolong kepada rakan serumahnya iaitu juniornya untuk mengangkat jemuran pakaiannya di ampaian kerana hujan turun dengan lebat. Sms tersebut berbunyi begini:

Ina ko buat apa
Hujan lebat aku xpat balik
ada x aku suruh ko angkat baju aku td

Begitulah mesej yang kakak saya berikan pada rakan serumahnya untuk meminta pertolongan. Setelah beberapa hari berlalu rakan serumahnya menceritakan Ina mengadu dengan linangan air mata dihadapannya kerana menyatakan kakak saya memarahinya. Kakak saya sungguh terkejut dan selepas bertanyakan kenapa? Barulah kakak saya sedar bahawa mesej yang dihantarnya semasa meminta pertolongan Ina pada tempoh hari telah disalah tafsir. Ina beranggapan kakak saya memarahinya dalam mesej itu. Mungkin keluarga saya berasal dari Melaka jadi terbiasa bercakap dengan agak kasar, namun dalam mesej yang dihantarkan tersebut ada perkara yang boleh mengurangkan kesalahtafsiran serta melembutkan sedikit bahasa yang dianggap agak kasar itu. Perkara yang dimaksudkan ialah penggunaan tanda bacaan.

Jika diperhatikan pada ayat pertama, Ina beranggapan bahawa kakak saya memarahinya kerana asyik duduk berehat sahaja. Sebenarnya, akak saya cuma bertanya keadaan ina pada waktu itu, adakah sibuk atau tidak? Dalam ayat kedua pula, pada pandangan Ina, kakak saya menzahirkan rasa marahnya dengan tidak balik ke rumah tetapi memberi alasan hujan lebat. Walaupun pada dasarnya dia sememangnya tidak dapat balik kerana hujan turun dengan lebat. Manakala, dalam ayat ketiga pula Ina rasa bersalah kerana mengangkat baju kakak saya di ampaian kerana mahu menjemur pakaiannya pula. Walhal, kakak saya sebenarnya cuma mahu meminta pertolongan Ina untuk mengangkat pakaian, tetapi cuba tidak menganggapnya sebagai “suruhan atau arahan” sebaliknya “pesanan”, maka kakak saya buat-buat bertanya bahawa adakah dia ada meminta pertolongan dari Ina untuk mengangkat pakaiannya jika hari hendak hujan? Pertanyaan tersebut sebenarnya bertujuan untuk mengingatkat Ina akan pesanannya sebelum keluar rumah tadi.

Sebagai pembetulan, mesej yang dihantar itu seharusnya mempunyai tanda bacaan supaya segala kata-kata tidak disalahtafsir oleh pembaca. Dalam ayat satu seharusnya terdapat tanda baca koma dan tanda soal. Dalam ayat dua pula seharusnya ada tanda koma dan noktah, manakala dalam ayat ketiga tadi perlu ada tanda soal. Selain itu, terdapat juga perkataan yang perlu ditukar supaya tidak dianggap sebagai kasar, misalnya “suruh” kepada “minta”. Begitu juga terdapat beberapa perkataan yang perlu ditambah bagi menjadikan pertanyaan lebih bersifat mesra. Contohnya:

Tafsiran Ina
Pembaikan mesej
Ina! ko buat apa?
hujan lebat aku x balik!
ada aku suruh ko angkat baju aku td!
Ina, ko sedang buat apa?
Hujan lebat ni, jadi aku x boleh balik.
ada x aku minta tolong ko angkat baju aku td?


1 mesej = 161 patah perkataan
1 mesej Celcom  ke celcom = 10 sen, jika 8pax = 1sen
1 mesej Celcom ke maxis   = 20 sen, jika active5 = 1sen

Berdasarkan pembaikan mesej di atas, saya fikir mesej yang dihantar tetap sama harganya kerana masih dalam lingkungan mesej pertama iaitu hadnya 161 patah perkataan, jadi tiada beza daripada jumlah bayaran mesej jika tanda bacaan digunakan dalam menulis mesej kerana peranannya sangat besar dalam pembinaan ayat yang baik.

Kesimpulannya, sungguhpun penggunaan bahasa singkatan menjadi pencemar kepada penggunaan bahasa, namun dengan penggunaan tanda baca yang betul kesalahtafsiran yang dapat menyapa emosi negatif pembaca SMS dapat diatasi. Sangat besar pengaruh tanda baca yang digunakan walaupun hanya sekadar tanda baca sesperti koma atau jeda (,), noktah (.), tanda soal (?) dan tanda seru (!). Hal ini demikian kerana, kesemua tanda-tanda baca tersebut mewakili nada serta ketinggian atau tona yang kita ucapkan.




 “KALIMAH AKAL : TANDA BACAAN PUNYAI PERANAN TERSENDIRI”


SITUASI: TETUANG UDARA

Tetuang udara atau kini dipanggil radio sinonim dengan wadah penyampai hiburan kepada pendengar. Walau bagaimanapun, terdapat juga stesen tetuang udara yang bersikap perihatin kepada masyarakat dengan menyediakan segmen-segmen yang dapat saya sifatkan sungguh bermanfaat, misalnya segmen belajar bacaan al-Quran dan belajar bahasa, sama ada bahasa Melayu, bahasa Inggeris juga bahasa Jepun. Sungguh saya sangat kagum dengan keperihatinan terhadap nilai sosial yang dipamerkan oleh stesen tetuang udara tersebut. Stesen tetuang udara yang saya maksudkan ialah stesen tetuang udara Pahang FM yang berfrekuensi 107.5 MHz. Kebetulan, ketika saya menukarkan ke frekuensi 107.5 MHz tersebut saya mendengar segmen mempelajari bahasa Melayu yang bertajuk penjodoh bilangan. Berikut merupakan antara contoh penjodoh bilangan:
1)      Sebuah pendapat
2)      Sebuah pandangan
3)      Sebuah kenangan
4)      Sebuah alasan
5)      Sebuah cita-cita
6)      Segulung harapan
Berdasarkan contoh di atas, pada fikiran anda adakah pengunaan penjodoh bilangan tersebut betul atau salah?

Menurut tatabahasa bahasa Melayu penggunaan penjodoh bilangan seperti contoh di atas  adalah salah. Hal ini demikian kerana, penjodoh bilangan tidak boleh digunakan bagi kata nama yang bersifat abstrak. Sebagai hujahannya, kita tidak mampu melihat kata nama yang bersifat abstrak seperti yang diperkatakan. Oleh itu, masakan kita dapat memberi penjodoh bilangan yang khusus bagi kata nama abstrak tersebut.

Berdasarkan kajian daripada pengajar segmen bahasa dalam tetuang radio tersebut, beliau perhatikan bahawa penggunaan kata nama abstrak yang disertai dengan penjodoh bilangan seperti contoh di atas sangat banyak digunakan dalam penghasilan karya sastera seperti sajak. Hal ini terjadi kerana, mungkin terdapat penulis atau penutur yang berjiwa sastera tersebut menganggap penggunaan penjodoh bilangan tersebut adalah betul di atas satu alasan iaitu sebagai keindahan bahasa dalam karya mereka. Oleh itu, mereka terdorong untuk melanggar peraturan bahasa Melayu iaitu penyalahgunaan penjodoh bilangan.

Sememangnya penggunaan contoh-contoh di atas adalah lebih indah jika diungkapkan dalam penghasilan sesebuah karya misalnya sajak, namun begitu penggunaannya adalah satu kesalahan. Oleh itu, tidak seharusnya pengkarya berusaha menghasilkan karya yang bermutu tinggi serta memberi kesan yang mendalam kepada minat dan emosi pembaca, namun dari sudut sintaksis penggunaan bahasanya adalah salah sama sekali.

Dalam satu seminar yang bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2009, Nik Safiah Karim ada menyatakan bahawa sememangnya penulis sastera diberi autoriti yang tersendiri dalam menghasilkan karya sastera, terutamanya dalam penghasilan istilah serta bahasa-bahasa yang indah. Walau bagaimanapun, mereka tidak seharusnya terus-menerus melanggar peraturan bahasa kerana kebenaran yang diberikan dalam melanggarnya adalah sangat kecil sekali iaitu 3% sahaja itu pun hanya dibenarkan jika berlaku keterpaksaan sahaja. Oleh itu, jelas bahawa penggunaan penjodoh bilangan bagi kata nama yang bersifat abstrak merupakan satu kesalahan tatabahasa dan tidak seharusnya disalahguna oleh pengkarya mahupun bukan pengkarya.

Kesimpulannya, sebagai penutur bahasa Melayu yang baik, setiap individu seharusnya mengambil serius dalam permasalahan ini. Pembaikan terhadap sesuatu kesalahan adalah sesuatu yang baik dan harus diamalkan. Oleh itu, harus diingat bahawa penjodoh bilangan tidak boleh digunakan untuk kata nama yang bersifat abtrak.


“KALIMAH AKAL: TETUANG RADIO WAHANA PENYEBARAN ILMU”


Selasa, 25 Januari 2011

SITUASI: MANIPULASI KATA


Bahasa merupakan wadah dalam penyampaian maklumat. Sama seperti bahasa dalam pengajaran di sekolah begitu jugalah penggunaan bahasa dalam aktiviti perniagaan. Hari ini saya temui satu contoh penggunaan bahasa yang telah dimanipulasi oleh pihak pengeluar atau penjual sesuatu produk. Pemanipulasian tersebut bertujuan untuk menarik atau merangsang minat pembeli. Berikut merupakan contoh seperti yang saya perkatakan:


Berdasarkan visual tersebut, dapat kita perhatikan perkataan “sedap” dieja secara bervariasi “sodap” dan “sedaap”. Kita mungkin dapat menerima perkataan “sodap” sebagai pemurnian daripada perkataan sedap dengan tujuan untuk mempromosi kerana perkataan “sodap” terdapat dalam dialek Kedah. Walau bagaimanapun, penggunaan perkataan “sedaap” bagi menggantikan perkataan sedap sememangnya tidak dapat diterima. Alasan yang mungkin diberikan oleh pengeluar produk makanan tersebut ialah “Mi Sedaap” merupakan kata nama khas bagi mi tersebut. Oleh hal yang demikian, daripada sudut semantik dan pragmatik bahasa Melayu, dapat saya nyatakan bahawa “mi sedaap” merupakan nama mi tersebut, sebaliknya bukan bermaksud mi tersebut berasa sedap apabila dimakan. Perkara ini sememangnya mampu menimbulkan kesalahfahaman pembeli ketika mentafsir perkataan tersebut.

         Dari sudut pola keselarasan suku kata iaitu di bawah aspek fonologi, “sedaap” boleh dipenggalkan menjadi se/da/ap (kv+kv+vk) tetapi berlainan dengan cara kita menyebut mi tersebut sebagai mi se/daap (kv+kvvk). Sebagai pengetahuan bersama, dalam bahasa Melayu tiada ejaan asli bahasa Melayu yang bersuku kata (kvvk), bahasa yang mempunyai pola keselarasan suku kata tersebut ialah bahasa Inggeris dan mungkin juga bahasa-bahasa lain. Pastinya, suku kata tersebut bukan dalam bahasa Melayu. Oleh itu, saya membuat hipotesis bahawa, kata “sedaap” tersebut sebenarnya berasal daripada kata “sedap up” iaitu bahasa rojak, tetapi cuba disesuaikan oleh pengeluar dengan sebutan orang yang berbahasa Melayu serta dikreatifkan mereka dengan mencantumkan kedua-dua perkataan tersebut mengikut sesedap sebutan (sedap up=sedaap).

        Perkara tersebut merupakan salah satu bentuk penipuan yang terdapat dalam aktiviti perniagaan. Pada pendapat saya, pengeluar telah memanipulasi bahasa sebagai suatu promosi perniagaan sehingga mempengaruhi persepsi pengguna terhadap perkataan tersebut. Oleh hal yang demikian, dapat saya simpulkan bahawa “mi sedaap” sebenarnya bukan merujuk kepada nama mi tersebut tetapi merujuk kepada rasa mi yang begitu sedap sehingga terangkat apabila dimakan. Walau bagaimanapun, mereka menyalahgunakan perkataan “mi sedap up” tersebut menjadi “Mi Sedaap” dan menganggap sebagai suatu kata nama khas. Pemanipulasian kata tersebut terpaksa dihalalkan walaupun penggunaannya adalah salah kerana dengan andaian “Mi Sedaap” merupakan kata nama khas bagi makanan segera tersebut.


“KALIMAH AKAL : BAHASA MENGINTERPRETASI PERASAAN"


Ahad, 23 Januari 2011

SITUASI : RAHSIA KATA

Ketika saya bersiap-siap untuk keluar makan malam, tiba-tiba saya terdengar suara yang datangnya dari luar bilik. Dengar sahaja saya sudah dapat meneka gerangan orang yang bersuara itu. Memang terdapat dua insan yang berperwatakan lembut dalam rumah saya. Saya secara sengaja mencuri dengar perbualan yang berlaku antara rakan “sepersatuan” itu. Berikut merupakan perbualan mereka yang tertanggap di cuping telinga saya:

P1 : Noq! kachmuk ya mamat tadi.
P2 : Ye la noq! putih, tinggi dan sasa.
P1 : Nyem sekal !! hahahaha.
P2 : Gituuuuuuu!!!
P1 : Eh noq, I lupa bawa kunci la tadi!
P2 : Hurmmm, macam mana nak masuk ni noq?
P1 : Ambil la kasut noq, kita ketuk je tombol pintu tu.
P2 : Ok la, mane kasut U noq?
P1 : Kasut I tak boleh la noq! Kasut I lembut.
P2 : Oh, lembut macam U la noq ye? Hahaha.

Lebih kurang begitulah perbualan yang berlangsung di antara P1 dan P2. Mungkin sukar untuk kita memahami perkara yang dibualkan oleh mereka kerana terdapat banyak kata-kata rahsia yang digunakan. Walau bagaimanapun, setelah saya cuba mendekatkan diri dengan P1 dan P2 selepas saya balik dari makan malam, akhirnya saya memperoleh jawapannya. Memang tidak banyak yang mereka  kongsikan dengan saya. Hal ini demikian kerana, perkara tersebut  sememangnya telah menjadi rahsia tersendiri dalam ahli persatuan mereka. Walau bagaimanapun, saya berpuas hati juga kerana penjelasan yang mereka berikan sudah cukup untuk saya memahami dialog mereka seperti yang telah saya terangkan di atas. Menurut mereka, ahli persatuan itu kebanyakannya berasal dari Sarawak.

Saya merasakan “ahli persatuan” di atas sungguh kreatif dalam mencipta rahsia kata supaya perbualan mereka tidak diketahui oleh orang ramai. Sebagai contoh, mereka menggunakan kata akronim yang berbentuk sesedap sebutan antaranya “kachmuk” dan “nyem sekal”. Kata mereka “kachmuk” bermaksud kacak muka. Berdasarkan pemerhatian leksikal saya selepas meminta P2 mengeja perkataan tersebut, saya mendapati huruf ‘h’ terisi dalam perkataan “kachmuk” itu. Oh! rupa-rupanya “kachmuk” bukan “kacmuk” seperti yang saya fikirkan pada awalnya. Daripada pemerhatian leksikal itu saya membuat kesimpulan awal bahawa terdapatnya pengaruh bahasa Melayu Sarawak dalam perkataan tersebut. Hal ini demikian kerana, bahasa Melayu Sarawak mengertikan “kachak” sebagai cantik atau tampan. Begitu juga dengan perkataan “nyem sekal” yang bermaksud sedap sekali. Pada fikiran saya, “nyem” mungkin berasal daripada perkataan “nyaman” yang dalam bahasa Melayu Sarawak diertikan sebagai sedap. Oleh kerana pengaruh sesedap sebutan mereka “nyaman” bertukar menjadi “nyem” manakali sekali dipermudahkan menjadi “sekal”.

Kesimpulan akhir yang dapat saya buat melalui perbualan dengan P1 dan P2 tersebut adalah terdapat pengaruh bahasa Melayu Sarawak dalam rahsia kata yang mereka ciptakan. Kesimpulan akhir yang saya buat tersebut sememangnya tidak menjadi kehairanan kerana pada peringkat awal perbualan antara saya, P1 dan P2 tadi mereka terlebih dahulu telah menyatakan bahawa ahli dalam persatuan mereka kebanyakannya berasal dari Sarawak.

Berdasarkan rahsia kata tersebut dapat kita lihat secara positif dan ilmiahnya bahawa antara ciri bahasa Melayu ialah bervariasi. Maksudnya, wujudnya kepelbagaian bahasa yang terdapat dalam masyarakat penuturnya. Faktor yang menyumbang kepada kevariasian bahasa antaranya ialah status sosial dan latar pendidikan. Dalam hal ini, P1 dan P2 bolehlah kita rujuk sebagai mereka yang terisi dalam latar belakang sosial yang tersendiri, seterusnya membentuk dialek sosial (sosiolek) yang hanya difahami oleh mereka sahaja. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa dalam kalangan ahli persatuan tersebut sebenarnya adalah sesuatu yang negatif dan mencemarkan bahasa Melayu kita. Oleh itu, saya ingin menyarankan kepada diri saya sendiri dan semua pembahasa supaya gunakanlah bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya.

"KALIMAH AKAL – BAHASA SENDI TAMADUN BANGSA"

Sabtu, 22 Januari 2011

SITUASI : PEMANDU BERHEMAH

Kita sering dicanangkan dengan berita mengenai pemandu yang tidak berhemah, antaranya melanggar lampu isyarat, memandu laju dan salah parkir. Walau bagaimanapun, hari ini aku berjumpa dengan seorang pemandu lori yang sungguh berhemah. Kejadian ini berlaku di sebatang jalan yang kecil berhampiran dengan stesen KTM Tanjung Malim.

Aku rasa sungguh senang kerana egonya tidak sebesar lori 5 tan yang bertayar enam itu. Sememangnya aku memang sudah “makan jalan” sedikit bagi mengelak lubang yang agak besar dan dalam itu kerana ia berada pada arah haluan keretaku. Ketika aku melintasi lubang itu tiba-tiba muncul sebuah lori dari arah hadapan. Pada mulanya aku melihat lori yang membawa angkutan tong gas itu seperti tidak mahu mengalah sahaja. Sangka aku pemandu itu tidak mungkin akan ke tepi kerana dalam situasi itu sememangnya aku yang bersalah kerana sudah “makan jalan” orang. Walau bagaimanapun, lori itu secara tiba-tiba mengubah haluannya ke tepi sehingga turun ke bahu jalan yang agak rendah daripada permukaan jalan raya yang bertar. Senget lori itu ku lihat kerana tiada keseimbangan, tinggi di sebelah kanan dan rendah di sebelah kiri. Sebenarnya sudah cukup baik jika pemandu lori itu berhenti seketika, bagi memberi laluan pada aku melintasi lubang itu dahulu. Sejurus melimpasi lori itu, aku perasan pemandu itu merupakan seorang lelaki India. Berikut merupakan komunikasi yang berlaku antara aku dengan pemandu lori itu:

Segera aku mengangkat tangan tanda mengucapkan terima kasih kepadanya. Sejurus itu, pemandu lori tersebut memberi tindak balas kembali dengan mengangkat tangannya serta melemparkan senyuman tanda beliau faham akan situasi aku tadi.
Selepas peristiwa yang berlaku itu fikiran aku terus melayang memikirkan peribadi pemandu di jalan raya. Oh! sungguh senang hatiku kerana bertemu dengan pemandu yang berbudi bahasa itu. Jika tidak, sudah tentu aku dimarahi dan dimaki hamun olehnya, sungguhpun dalam situasi itu sebenarnya aku berkeadaan terpaksa. Sememangnya masih ada pemandu yang mempunyai sifat berhemah tinggi dan pemandu lori berketurunan India yang aku temu tadi merupakan salah seorang daripadanya. Pada aku, sangat tinggi nilai bahasa badan yang ditunjukkannya sebagai tindak balas daripada bahasa badan yang aku berikan. Sungguhpun hanya mengangkat sebelah tangan sahaja, namun tindakan itu sememangnya sangat hebat menyentuh emosi aku.

Kesimpulannya, dapat aku katakan bahawa begitu pentingnya sikap berhemah tinggi dalam diri manusia ini. Bukan sahaja dalam situasi pemanduan di jalan raya, malahan dalam segala urusan sosialiti. Sesungguhnya, manusia sangat memerlukan kemaafan bagi setiap kesalahan yang dilakukannya. Tunjukkanlah nilai yang baik walau hanya dengan menggunakan bahasa badan sahaja. Sedangkan nabi ampunkan umatnya, apatah lagi kita yang kecil kedudukannya ini. Selamat beramal.


“KALIMAH AKAL : BAHASA BADAN BAHASA KOMUNIKASI”