Jumaat, 4 Mac 2011

SITUASI: PEMUJUKAN

Saya cuba untuk berkongsi cerita berkenaan pemujukan si peminta sedekah. Pernahkah anda bertemu dengan kalangan mereka? Jika rakan pembaca perasan, di stesen minyak Tanjung Malim terdapat kanak-kanak yang meminta sedekah. Persoalan yang saya ingin bincangkan adalah, bagaimanakah kanak-kanak itu memujuk untuk mendapatkan sedekah?

Hampir setiap minggu saya bertembung dengan peminta sedekah di stesen minyak itu. Tentunya mereka sentiasa cuba untuk mendampingi pemandu-pemandu yang mengisi minyak di situ, baik pemandu kereta mahupun penunggang motorsikal:
Adik : abang, saya dari sekolah…
saya ada menjual CD dan buku agama
Saya : Di mana sekolah itu?
Adik : saya belajar di …
abang belilah barang ini.
Saya : saya dah ada buku dan CD itu
Adik : belilah satu lagi abang,
hadiahkan pada kawan, dapat pahala
Saya : kawan saya tu tak baca pun, dia bukan Islam
Adik : belilah bang, kalau tak mahu pun sedekah la sikit,
Bantulah kami. (muka sedih)

Selepas memberikan sedikit sumbangan kepada adik tadi saya terus berlalu pergi. Saya berfikir sejenak, sememangnya di Malaysa ini, prospek kerjaya sebagai seorang peminta sedekah adalah sangat besar. Perkara yang menjadi keutamaan dalam kerjaya peminta sedekah itu adalah pandai memujuk dan berlakon. Kemahiran itulah yang saya cuba ketengahkan dalam situasi kali ini.
           
          Lihatlah sahaja adik itu, beliau cuba berbahasa dengan sangat ramah serta menunjukkan air muka yang kasihan. Perkataan yang digunakan mampu mengganggu emosi anda. Sebagai contoh:
  1.    Menjual vcd dan buku agama
  2.       Dapat pahala
  3.       Bantulah kami

Kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat adalah sangat penting. Mungkin kerana pelanggannya orang Islam maka perkataan yang digunakan lebih menjurus kepada keagamaan. Walau bagaimanapun, jika orang yang didampinginya bukan beragama Islam maka dialog yang diucapkan pasti lain.

Kesimpulannya, baik melalui pertuturan mahupun bahasa badan, si adik tadi mampu untuk beroleh sedekah yang dipinta. Semuanya disebabkan kemahirannya yang pandai berkomunikasi. Sedikit renungan untuk kita bersama, jika peminta sedekah sifatnya kurang sempurna mungkin cara itu merupakan pintu rezekinya, tetapi jika peminta sedekah itu sihat sejahtera perlukah kita menghulurkan sesuatu kepadanya? Fikir-fikirkan.

“KALIMAH AKAL : BAHASA BAHAN PEMUJUK”


Khamis, 24 Februari 2011

SITUASI: GEZET

Wan 1 : Kena simpan cerita ni!
Wan 2 : Buat apa simpan? Buat berat laptop je.
Wan 1 : Mak aku nak tengok cerita ni
Wan 2 : Owh, mana mak ko tahu tentang cerita nie?
Wan 1 : Mak aku tengok gezet.
Wan 1 + wan 2 : hahahaha

Begitulah sedikit sebanyak perbualan saya dengan rakan sebilik. Cerita tersebut merujuk kepada cerita ‘Faster’ lakonan Dwayne Johnson atau lebih dikenali sebagai The Rock. Pada pendapat rakan-rakan yang membaca, apakah yang dimaksudkan dengan gezet itu? Saya cuba ketengahkan perkataan gezet kerana ibu saya juga menggunakan perkataan itu dalam mengistilahkan satu perkara. Walau bagaimanapun, saya sedikit kurang pasti mengenai ejaan yang sebenar, ejaan gezet itu adalah ejaan berdasarkan sebutan.

Sering kali berlaku tafsiran yang berbeza kerana manusia mempunyai daya pemikiran serta pendapat yang berbeza. Mungkin ada juga yang langsung tidak dapat membuat tafsiran kerana jarang sekali kita mendengar perkataan itu. Jika dilihat dari sudut homofon, dalam bidang geografi, perkataan tersebut bermaksud mewartakan, mengumumkan atau mengisytiharkan tetapi itu gazet. Walau bagaimanapun, dalam situasi di atas makna gezet yang sebenarnya adalah ‘sedutan atau permulaan cerita’.  Bagaimana? Pernahkah anda mendengarnya?

Selepas itu saya bertanya kepada rakan saya lagi:
Wan 2 : Mak ko umur berapa Wan?
Wan 1 : 49 tahun

Sebenarnya, saya bertanya dengan tujuan mahu mengetahui adakah penggunaan kata gezet itu hanya diketahui oleh orang-orang tua sahaja atau tidak? Tentunya pertanyaan saya tadi tidak mampu memberi petunjuk yang tepat dalam usaha saya menyelidik asal usul perkataan itu. Perkataan gezet tiada dalam kamus dewan.

Kemudian, saya teringat pula keluarga rakan saya itu berasal dari Melaka, iaitu negeri kelahiran keluarga saya juga, jadi mungkinkah kata gezet itu hanya biasa digunakan dalam kalangan orang Melaka sahaja? Saya fikir itu bukan jawapannya yang tepat, walaupun sememangnya terdapat sedikit kerelevanan.

Terfikir pula saya, mungkinkah itu bahasa Inggeris? Hal ini demikian kerana, sistem pendidikan dahulu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Oleh itu, mungkin gezet itu merupakan kata pinjaman. Setelah membelek kamus Inggeris, saya rasa penyelidikan saya seperti hampir terjawab. Jika mahu dicari perkataan yang mempunyai ejaan sama pastinya tiada, oleh itu saya mencari perkataan berdasarkan bunyi gezet itu dan saya beroleh jawapan get set yang bermaksud ‘sedia untuk bermula’. Dalam situasi di atas, get set merujuk kepada sedutan cerita yang akan bakal ditayangkan.

Mengapa saya pilih get set sebagai asal usul perkataan gezet? Hujahan saya ialah kita menyebut sy dalam bahasa Inggeris sebagai z. Contohnya:
  1.   . Busy = bizi
  2.     Easy = izi
  3.     Daisy = dezi
  4.     Get set = gezet
Justeru, saya beranggapan adalah sangat cocok apabila get set menjadi gezet. Maklum sajalah, sebutan orang tua-tua yang kurang berpendidikan. Zaman dahulu orang hidup susah, jadi belajar pun tak semenggah kerana kerja menjadi keutamaan mereka untuk meneruskan keberlangsungan hidup. Oleh itu, kekeliruan dalam sebutan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris yang menjadi pengantar pendidikan pada suatu ketika dahulu adalah langsung tidak mustahil.

“KALIMAH AKAL : BAHASA INGGERIS PUNYA PENGARUH BESAR DALAM PERTUTURAN KITA”

SITUASI: SENDI "AKAN"


‘Kuliah Cintakan Rasul’, begitulah tajuk majlis ilmu yang terpapar pada poster di atas. Tiada masalah berkenaan majlis ilmu tersebut,  tetapi terdapat kesalahan dalam penulisan tajuknya. Oleh itu, ingin saya berkongsi serba sedikit berkenaan penggunaan imbuhan –kan dalam morfem ‘cintakan’. Sebelum dianalisis, saya memperlihatkan terlebih dahulu contoh lain yang sama bentuk kesalahannya:

  1. Saya sangat kasihkan dia.
  2. Ibu terlalu rindukan saya.
  3. Siti amat bencikan Alif.
Seringkali, kesalahan sebegitu berlaku dalam kalangan penulis mahupun penutur. Mereka sebenarnya keliru tentang penggunaan imbuhan akhiran –kan atau kata sendi akan. Berdasarkan contoh yang telah diberi, barangkali mereka beranggapan bahawa kata sendi boleh disingkatkan menjadi –kan. Walau bagaimanapun, anggapan itu sebenarnya salah.

Berdasarkan rumus tatabahasa, kata adjektif yang berbentuk perasaan perlu disertai dengan kata sendi apabila diperluas dengan kata nama. Hal tersebut bersesuaian dengan konsep kata sendi nama itu sendiri iaitu kata sendi perlu hadir sebelum kata nama. Berikut ditunjukkan pembaikan ayat berdasarkan contoh-contoh di atas: 

Contoh
Pembaikan
Kuliah Cintakan Rasul.
Kuliah Cinta akan Rasul.
Saya sangat kasihkan dia.
Saya sangat kasih akan dia.
Ibu terlalu rindukan saya.
Ibu terlalu rindu akan saya.
Siti amat bencikan Alif.
Siti amat benci akan Alif.

Bagi mengatasi masalah di atas, pembahasa perlulah mengetahui dengan jelas cara pemakaian kata sendi ‘akan’ dalam peluasan predikat yang menggunakan pola (FN+FA). Selain daripada menjadi kata sendi, kata ‘akan’ juga boleh berfungsi sebagai kata tugas iaitu kata bantu aspek. Harus diingat bahawa tiada singkatan bagi kata sendi ‘akan’ menjadi –kan.

KALIMAH AKAL : SENDI NAMA = KS+KN

Selasa, 15 Februari 2011

SITUASI: PEMBALIKAN KATA

Seringkali penutur mengujarkan sesuatu yang berlawanan dengan maksudnya. Perkara ini mungkin sudah menjadi kebiasaan kepada mereka yang pandai berkata-kata. Walau bagaimanapun, kadang kala kita juga mampu memahami akan maksudnya, sungguhpun penutur memperihal sesuatu yang ingin disampaikan secara pembalikan atau inversi. Pernahkah anda terfikir tentang perkara ini? Bagaimana kesefahaman makna ini boleh berlaku? 
 Contohnya:
1)      Cantik betul baju budak tu!
2)      Ko bukan tak tahu motor aku kan laju.
3)      Malas nak kejar, aku dah la lari laju.

Berdasarkan contoh di atas, kita pasti akan tahu bahawa perkara yang diperkatakan itu benar atau palsu. Sebenarnya terdapat beberapa perkara yang membolehkan kita memahami maksud yang disampaikan oleh penutur tersebut. Antaranya ialah:
1)      Kita berada pada situasi yang diceritakan oleh si penutur
2)      Kita punyai skema berkenaan sesuatu yang dirujuk oleh si penutur
3)      Kita mengenal rapat si penutur

Berdasarkan contoh 1, kita akan tahu sama ada baju yang dipakai oleh budak itu benar-benar cantik atau tidak seperti yang diperkatakan oleh penutur, iaitu apabila kita berada pada situasi itu (melihat sendiri pakaian budak itu).

Dalam contoh 2 pula, kita tahu bahawa motor si penutur itu betul-betul laju atau tidak seperti yang diceritakannya, iaitu apabila kita mempunyai skema berkenaan motosikal yang dirujuk tersebut (berkaitan jenis dan kondisi motosikalnya) .

Begitu juga bagi contoh 3, kita mampu mengetahui sama ada si penutur itu mampu berlari dengan laju atau tidak, jika kita mengenali si penutur secara akrab atau rapat (berkaitan kesihatan tubuh badannya).

Walau bagaimanapun, sebenarnya adalah teramat sukar untuk kita fahami apa-apa yang diperkatakan oleh penutur yang bertutur secara terbalik dalam menyampaikan maksudnya. Jika kita tidak mengetahui situasi, bahan yang dirujuk serta mengenal rapat si penutur, maka kita pasti mengalami kesukaran untuk mentafsir maksudnya. Pentafsiran makna yang sebenar adalah lebih sukar jika disampaikan melalui penulisan.

Seterusnya, kecelaruan makna pasti akan wujud dalam minda pendengar tanpa disedari sehingga diketahui perkara yang sebenar. Jika pendengar mengetahui perkara yang sebenar, maka mereka cenderung menganggap penutur sebagai penipu.

Sesungguhnya, percakapan sebegitu merupakan salah satu teknik percakapan bagi seorang yang dianggap pandai dengan tujuan mahu pendengar berfikir sendiri. Walau bagaimanapun, adalah tidak digalakkan apabila seseorang itu bercakap sedemikian dalam komuniti yang tidak dikenali. Hal ini demikian kerana, pendengar dikhuatiri sukar memahaminya, seterusnya makna sebenar yang cuba disampaikan tidak akan kesampaian.

Video untuk tontonan bersama:




“KALIMAH AKAL : BERBAHASALAH BERDASARKAN KOMUNITI”


Isnin, 14 Februari 2011

SITUASI: RAHSIA "F"

Dakfakwanfan kofo pefe khafhabarfar? Lafamafa dahfah takfak defengarfar ceferifitafa kofo. Kofo sifihatfat takfak? Dahfah lafamafa kifitafa takfak jumfumpafa kanfan? Kofo bufuatfat afapafa sefekafarangfang Dakfakwanfan?
Begitulah sapaan seorang rakan ke atas diri saya di ruangan Facebook. Sejurus itu, saya kembali teringat tentang penggunaan ‘F’ yang diselitkan dalam pertuturan. Walaupun gaya pertuturan tersebut sangat digemari suatu ketika dahulu, namun, saya sememangnya tidak mengetahui bagaimana cara untuk menuturkannya? Hal ini demikian kerana, pertuturan sebegitu hanya berleluasa dalam kalangan pelajar perempuan sahaja.

Sejurus itu, saya segera mengambil kesempatan untuk bertanya kepada rakan saya tentang bagaimana cara beliau menggunakan ‘F’ dalam setiap perkataan yang ditulisnya itu? Menurut beliau, penggunaan "F" dalam setiap perkataan yang ditutur atau ditulis adalah seperti berikut:

1)      Gantikan setiap awal suku kata dengan huruf F
      Cth : Dak wan = Dakfak wanfan


2)      Jika huruf vokal hadir di awal suku kata, 
      maka tambahkan sahaja F
      Cth : apa = afapafa

        Berdasarkan teknik penggunaan ‘F’ yang dinyatakan oleh rakan saya seperti di atas, dapatkah anda tafsirkan maksud sapaannya itu? Mungkin agak mudah untuk kita fahami makna sapaan rakan saya itu kerana sapaannya disampaikan dalam bentuk tulisan. Namun, jika sapaan itu disampaikan dalam bentuk sebaliknya iaitu pertuturan, maka saya pasti kita akan mengalami kesukaran untuk memahaminya, walaupun kita sudah tahu teknik penggunaannya. Selepas sapaan tersebut ditafsir, maka terbentuklah ayat seperti di bawah ini:
Dakwan ko pe khabar? Lama dah tak dengar cerita ko. Ko sihat tak? Dah lama kita tak jumpa kan? Ko buat apa sekarang Dakwan?
         Sememangnya penggunaan ‘F’ dalam setiap perkataan tersebut telah mencemarkan bahasa Melayu kita. Hal ini demikian kerana, pembaca atau pendengar tidak dapat memahami mesej yang mahu disampaikan. Sedangkan, tujuan seseorang itu berbahasa adalah untuk menyampaikan sesuatu yang bermakna. Bahasa yang bermakna merupakan salah satu ciri bahasa, bukan sahaja bahasa Melayu malahan juga bahasa-bahasa lain di dunia ini.
            
         Jika dipandang dari luar kotak fikiran kita, penggunaan huruf ‘F” dalam setiap perkataan mungkin mampu meningkatkan kecekapan penutur. Kecekapan yang dimaksudkan ialah pemenggalan perkataan. Kecekapan tersebut boleh diukur berdasarkan kelancaran penutur yang mengujarkan huruf ‘F’ di awal setiap suku kata dalam pertuturannya.

       Sebagai pengetahuan bersama, pemenggalan perkataan dipelajari di bawah sistem fonologi dan morfologi, bertujuan memberi pengetahuan kepada pelajar berkenaan pola keselarasan vokal dan konsonan yag terdapat dalam bahasa Melayu. Hal ini dilihat jelas kerana merujuk kepada teknik ‘F’, ‘F’ perlu berada di awal setiap suku kata. Oleh itu, penutur perlulah mengetahui suku kata dalam setiap perkataan terlebih dahulu sebelum boleh bertutur menggunakan teknik ‘F’ itu.
            
          Kesimpulannya, saya melihat permasalahan di atas secara baik dan buruknya. Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa tujuan kita berbahasa adalah untuk menyampaikan makna. Oleh itu, saya beranggapan cara penggunaan ‘F’ dalam setiap pangkal suku kata adalah suatu perbuatan yang mencemarkan kedudukan bahasa Melayu. Terdapat banyak lagi cara yang boleh digunakan oleh penutur bagi mempercekapkan diri dalam pemenggalan perkataan. Justeru, adalah tidak wajar jika kita mempercekapkan sesuatu perkara dengan cara merosakkan bahasa kita.


"KALIMAH AKAL : PENUTUR ‘F’ PEROSAK BAHASA"


Ahad, 13 Februari 2011

SITUASI: KIASAN "AYAM"


Sungguh menggelikan hati saya dan seorang rakan apabila mendengar lagu Jalil Hamid yang bertajuk Ayam tadi semasa pulang dari penyelidikan di Kem Modal Insan KEWAJA. Pada pendapat saya, lagu itu ditulis dengan begitu kreatif sekali kerana di dalam liriknya banyak memperihalkan "ayam" dengan kepelbagaian maksud. Lagu tersebut pastinya mampu memberi nilai tambah yang baik terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pendengarnya. Berikut merupakan beberapa tafsiran makna ayam berdasarkan lagu tersebut:

1)      Ayam – Unggas yang biasa diternak (ayam kampung, ayam hutan, ayam belanda dan lain-lain)
2)   Hangat-hangat tahi ayam – Sesuatu yang dilakukan secara tidak bersungguh
3)      Ajak-ajak ayam – Ajakan yang tidak bersungguh @ pemanis mulut sahaja
4)     Tidur-tidur ayam – Minat atau usaha yang tidak berpanjangan
5)      Rabun ayam – Penglihatan yang kurang jelas
6)     Cakar ayam – Tulisan yang buruk
7)     Ibu ayam – Ibu kepada ayam @ perempuan yang memperdagangkan pelacur
8)     Kaki ayam – Ayam yang berkaki dua @ seseorang yang tidak memakai kasut
Tautan akal penambah informasi kita bersama : http://www.seribahasa.com/
Contoh di atas merupakan antara contoh bahasa kiasan yang terdapat dalam bahasa Melayu, sama ada berbentuk simpulan bahasa, peribahasa dan sebagainya. Jika diperhatikan, terdapat kepelbagaian makna yang boleh dihasilkan daripada sebarang perkataan yang bervariasi dengan “ayam”. Contoh lain antaranya ialah ayam tambatan, anak ayam, dan bapak ayam. Semua contoh tersebut punyai makna yang tersendiri. Justeru itu, mahu saya nyatakan bahawa bahasa itu bermakna, iaitu dari sekecil-kecil unit bahasa iaitu morfem hinggalah wacana, kesemuanya punyai makna:

          Morferm - mempunyai makna leksikal
          Frasa, Klausa dan ayat - mempunyai makna gramatikal
          Wacana - mempunyai makna pragmatikal
           
Sesungguhnya bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang hebat kerana mempunyai bahasa kiasan yang menyatakan makna tersirat. Bahasa kiasan adalah bahasa yang halus dan sangat wajar digunakan dalam pertuturan. Oleh itu, sebagai penutur natif bahasa Melayu, kita seharusnya berasa bangga apabila menuturkan bahasa kiasan tersebut. Hal ini demikian kerana, pengguaan bahasa kiasan dipercayai mampu mengekalkan hubungan yang harmoni antara si penutur dengan si pendengar.

“KALIMAH AKAL : KIASAN PEMANIS BICARA”


SITUASI: PERUBAHAN MAKNA

Barang kali kita sudah biasa melihat perubahan makna berdasarkan konteks ayat. Oleh itu, cuba anda temukan beberapa perkataan yang merupakan kata nama khas tetapi boleh bertukar golongan kata kepada kata nama adjektif tanpa menerima sebarang perubahan proses morfologi. Proses yang dimaksudkan ialah proses penerbitan, proses penggandaan, proses pemajmukan mahupun proses akronim. Adakah anda beroleh jawapan tersebut?

Terdapat beberapa contoh perkataan yang mampu berubah maksud. Hal ini demikian kerana penggunaan perkataan tersebut ditafsir berdasarkan situasi penggunaannya dalam ayat lengkap. Perkataan yang saya maksudkan ialah “Keling” dan “Jakun”. Mari kita lihat bersama penjelasannya.

Berdasarkan Kamus Dewan, “Keling” bermaksud kata yang kurang manis bagi orang yang berasal dari selatan negeri India iaitu Kalling. Oleh sebab itu, perkataan “Keling” boleh berubah golongan kata tanpa menerima sebarang proses morfologi tetapi perlu dianalisis berdasarkan sintaksis iaitu struktur ayatnya.

1)      Orang Keling itu tinggal di estet.
(Keling = KN)
2)      Ahmad bercakap macam keling.
(Keling = KA)

Jakun pula bermaksud kata yang merujuk kepada penduduk asli semenanjung Malaysia iaitu yang tinggal di hutan Negeri Sembilan, Pahang dan Johor. Walau bagaimanapun, kini penggunaan kata jakun itu turut mempunyai makna lain iaitu sifat jakun yang merujuk kepada keadaan yang kehairanan. Berikut merupakan contoh ayat yang membezakan maksud jakun:

1)      Sekarang orang Jakun bertambah maju.
(Jakun = KN)
2)      Ali kelihatan jakun ketika menaiki kereta Evo 7 yang dipandu oleh Imran.
(Jakun = KA)

Disebalik contoh di atas, dapat kita ketahui salah satu ciri bahasa Melayu iaitu sifatnya yang dinamis. Maksudnya ialah bahasa Melayu boleh mengalami perubahan, tidak bersifat statik dan sentiasa berkembang. Hal ini demikian kerana, berlakunya pertambahan kosa kata dalam bahasa Melayu. Selain proses perluasan makna itu, terdapat juga proses penyempitan makna dan proses perubahan makna yang juga terdapat di bawah ciri bahasa yang sama. Contohnya:

1)      Proses penyempitan makna
Khalwat – Dahulu merujuk kepada seseorang yang mengasingkan diri kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah, tetapi sekarang merujuk kepada perbuatan SUMBANG antara lelaki dan perempuan.
  
2)      Proses perubahan makna
Kutub khana – Dahulu merujuk kepada gedung simpanan buku, majalah dan sebagainya, tetapi sekarang menggunakan istilah PERPUSTAKAAN.

Kesimpulannya, proses perluasan makna boleh dilihat dengan jelas sekali apabila diperlihatkan dalam bentuk sintaksis iaitu ayat lengkap. Berdasarkan ayat yang lengkap itu, kita mampu membezakan golongan kata dengan tepat, iaitu merujuk kepada situasi ayat tersebut. Proses perluasan itu juga secara tidak langsung telah menunjukkan bahasa Melayu yang kita tuturkan seharian ini merupakan salah satu bahasa yang sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman.

“KALIMAH AKAL : BAHASA ITU DINAMIS”