Ahad, 13 Februari 2011

SITUASI: PUJUK RAYU

Pada hari Sabtu bersamaan 12 Februari 2011, saya dan rakan-rakan seharian di Kem Modal Insan KEWAJA untuk menjalankan sedikit penyelidikan. KEWAJA merupakan akronim bagi Kebahagiaan Wanita dan Remaja. Kem tersebut bertujuan membantu kaum hawa yang telah terlanjur dan hamil anak luar nikah. Sewaktu berada di sana, saya terasyik melihat seorang kakak yang sedang bersungguh memujuk adiknya untuk masuk ke kem itu. Sememangnya adik beliau telah mengandung disebabkan tewas dengan pujuk rayu teman lelakinya. Menangis si adik itu kerana tidak mahu dimasukkan ke KEWAJA.
            
      Pujukan rmerupakan sejenis retorik bahasa yang sangat hebat kerana fungsinya mempengaruhi orang lain. Hal ini berkait rapat dengan psikologi manusia. Berdasarkan situasi di atas, kakak kepada si adik berusaha mempengaruhi pemikiran dan keyakinan si adik itu untuk masuk ke KEWAJA. Kehalusan berbahasa merupakan aspek yang perlu dikuasai oleh si pemujuk. Biasanya, pemujuk akan memperbanding antara kebaikan dengan keburukan sesuatu isu supaya orang yang dipujuk akan lebih terpengaruh.
            
       Bahasa yang manis dan menarik kerap diguna oleh kakak bagi mengeksploitasi emosi. Misalnya, si kakak tadi perlu menggunakan perkataan yang positif bagi mempengaruhi si adik tadi. Kata penguat merupakan kata yang perlu digunakan dalam ayat bagi situasi itu. Contohnya:

1)      Kem KEWAJA merupakan tempat yang paling baik untuk adik.
2)      Adik sungguh beruntung kerana kem KEWAJA ini sedia terima adik.
3)      Adik amat bertuah kerana mempunyai mak dan ayah angkat yang sangat perihatin dengan adik di sini.
            
     Pemujukan diguna secara meluas dalam kehidupan, selain situasi kakak memujuk si adik terdapat juga situasi lain yang sering kita hadapi. Misalnya, situasi peniaga memujuk pembeli. Kebiasaannya, pujukan berkait rapat dengan penawaran barangan dan perkhidmatan. Perkara tersebut merupakan suatu yang sangat hampir dengan diri kita. Oleh itu, kita seharusnya menjadi individu yang berhemah dalam memilih setiap tawaran tersebut.

       Pemujukan mempunyai dua unsur iaitu unsur positif dan unsur negatif. Bagi situasi kakak yang memujuk si adik tadi, itu merupakan pemujukan yang berunsur positif, manakala bagi contoh pemujukan lain iaitu situasi penjual memujuk si pembeli pula berkemungkinan terdapat kedua-dua unsur iaitu unsur positif dan unsur negatif.

    Kesimpulannya, bagi mengatasi sesuatu pujuk rayu itu seseorang individu perlulah mempunyai pemikiran yang tajam serta pertimbangan yang munasabah terhadap sesuatu perkara itu. Jika tidak, si dirayu pasti akan menerima kesan yang negatif misalnya si adik mengandung anak luar nikah, mahupun si pembeli akan kerugian besar.


“KALIMAH AKAL : PUJUK RAYU MAINAN KALBU”



Jumaat, 11 Februari 2011

SITUASI: SURAT

Semasa membaca buku Mastika milik rakan sebilik saya, saya tertarik dengan satu cerita yang bertajuk 100 Ciuman Sayang. Saya beranggapan cerita yang digarap oleh penulis tersebut adalah sungguh menarik kerana penulis menggunakan teknik penulisan surat bagi cerita itu. Berikut merupakan surat yang dikirim oleh Abang Rahman iaitu suami kepada Leha:

Isteriku Leha sayang,

Maafkan abang sayang, bulan ini abang tidak dapat hantar duit belanja untuk sayang dan anak-anak sebab bisnes abang merudum. Abang hanya mampu kirim 100 ciuman untuk sayang.
Yang benar,
Abang Rahman

Seminggu kemudian, Rahman menerima surat balasan dari isterinya Leha…

Abang sayang,
Terima kasih di atas 100 ciuman abang itu. Leha amat menghargainya. Untuk bulan ini, Leha belanja begitu berhemah. Berikut adalah laporan perbelanjaan Leha:
  • Kedai runcit Pak Hashim sedia terima 2 ciuman sayang untuk beli lima liter minyak masak.
  • Tukang baiki paip sedia terima 4 ciuman sayang untuk baiki sinki bocor.
  • Tukang buat rumah sedia 3 ciuman sayang setiap hari.
  • Linggam karpet tidak terima ciuman, tetapi mahu dibayar dengan benda lain, terpaksa sayang turutkan untuk jimatkan belanja.
  • Guru tuisyen along sedia terima 3 ciuman, guru angah 3 ciuman dan guru adik 12 ciuman. (sebab adik perlu diberikan banyak tumpuan).
  • Sayang juga bertemu dengan orang kaya Bakar untuk tukarkan 20 ciuman dengan wang sebanyak RM100.
Terima kasih abang di atas kiriman ciuman amat berharga itu. sayang rasa sangat kaya bulan ini. Semua perbelanjaan juga tersangatlah mewah. Sayang harap bulan depan abang akan kirim lebih banyak lagi ciuman untuk sayang. Oh ya! Sayang ada lagi baki ciuman abang sebanyak 53 kali. Abang rasa patutkah sayang tukar perabot baru ataupun simpan sahaja ciuman itu?
                                                                                                                                                                                                                                              
           Cerita dalam surat di atas bolehlah kita anggap sebagai sebuah cerita yang mempunyai unsur jenaka, namun disebalik kejenakaan itu terdapat mesej yang sungguh mendalam maksudnya. Wang merupakan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan, namun persoalannya, perlukah seseorang menggadaikan maruah diri deminya? Adakah Rahman mahu Leha iaitu isterinya jadi begitu? Atau leha yang menyalah tafsir tujuan ciuman yang dikirim oleh suaminya? Walau bagaimanapun, bukan itu yang mahu saya bincangkan dalam ruangan blog ini, tetapi fungsi surat tersebut dalam penyebaran bahasa Melayu.

Surat mungkin tidak lagi sepopular sms dalam bidang perhubungan di zaman modenisasi ini. Walau bagaimanapun, peranannya pada suatu ketika dahulu sememangnya tidak dapat kita nafikan. Surat merupakan satu medium penting dalam penyebaran bahasa suatu ketika dahulu. Penggunaannya sangat meluas terutama dalam perhubungan antara dua Negara. Misalnya, surat antara Raja Ternate dengan Raja Portugal yang merupakan surat Melayu terawal iaitu pada abad ke-16. Surat antara kedua-dua raja tersebut ditulis dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang penting pada ketika itu kerana sesiapa yang tidak menggunakan bahasa Melayu maka mereka tidak akan dapat berkomunikasi dengan orang lain.

       Berikut merupakan surat Sultan Abu Hayat kepada Raja Portugal pada tahun 1921:


                                 
Pada zaman dahulu, surat daripada raja ditulis oleh pihak istana iaitu seorang yang berpengatahuan luas dalam bidang keilmuan. Sultan Abu Hayat yang masih kecil pada waktu itu telah mengutus surat tersebut kepada Raja Portugal. Beliau yang waktu itu berusia kurang daripada 10 tahun tentu sahaja tidak pandai untuk menulis dan mengutus surat. Oleh itu, pihak istana telah menulis dan mengutus surat bagi pihak baginda. Surat tersebut sebenarnya bertujuan untuk memaklumkan kepada Raja Portugal bahawa Francisco Serra mahu dibunuh oleh Raja Jailolo dan Raja Tidore kerana disuruh oleh Raja Ambon. Sungguhpun surat itu ditulis menggunakan aksara jawi, namun surat itu mampu difahami oleh pemerintah atau pihak Barat.

Penggunaan bahasa Melayu dalam surat atau warkah itu menunjukkan bahawa surat mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam sistem perhubungan sama ada perhubungan dalam pentadbiran, perdagangan dan sebagainya. Penggunaan surat dalam perhubungan turut memperluaskan lagi penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat tempatan mahupun pedagang. Misalnya, pertembungan budaya antara masyarakat di Melaka dengan pedagang luar seperti dari China, Arab dan sebgainya yang datang berdagang ke Melaka menyebabkan masyarakat Melaka juga banyak mempelajari bahasa-bahasa luar. Berlaku penyerapan bahasa luar ke dalam bahasa Melayu seperti beca, teko, dan cawan daripada bahasa China, manakala hukum, insan dan hikayat daripada bahasa Arab.

Kesimpulannya, surat telah menjadi satu medium yang utama dalam perhubungan antara Melaka dengan pemerintah barat. Begitu juga pada zaman ini, surat masih digunakan sebagai wadah perhubungan antara Malaysia dengan negara-negara luar, tetapi malangnya bukan lagi menggunakan bahasa Melayu tetapi bahasa Inggeris. Hal ini saya anggap sebagai satu langkah berundur ke belakang. Surat sememangnya sangat baik dalam penyebaran bahasa. Oleh itu, pengaplikasian penulisan surat dalam kalangan masyarakat adalah sangat wajar, bukan sahaja surat dalam perhubungan antarabangsa, malahan dalam perhubungan sosial juga perlu diberi penekanan kerana penulisan surat merupakan suatu budaya yang baik. Penulisan yang baik adalah sangat penting supaya mesej yang ingin disampaikan dapat difahami oleh penerima.

Tautan akal penambah informasi kita bersama: http://sejarahperkembanganbm.blogspot.com/


 “KALIMAH AKAL : SURAT PENYEBARLUAS BAHASA” 



Rabu, 9 Februari 2011

SITUASI: KOSA KATA

Pernahkah anda bermain permainan yang mampu menguji keterampilan bahasa anda? Terlihat anak saudara saya sedang bermain permainan sahibba, saya terfikir betapa bagusnya permainan itu kerana mampu memperkayakan kosa kata individu yang bermain. Sememangnya saya juga pernah bermain permainan tersebut suatu ketika dahulu dan tahu dengan jelas akan faedahnya. Berikut merupakan video permainan sahibba yang saya dapatkan dari youtube sebagai tontonan bersama:


Berdasarkan video di atas, saya berpendapat bahawa permainan sahibba merupakan salah satu permainan yang mampu menguji tahap kosa kata pemain tersebut. Sahibba atau Scrabble merupakan permainan susun kata di atas papan. Permainan sahibba dijalankan dengan cara menyusun huruf bagi membentuk perkataan yang bermakna. Berdasarkan peraturan, pemain hanya dibenarkan mengambil tujuh buah jubin huruf sahaja. Setiap huruf mempunyai nilai yang tersendiri. Nilai sesuatu huruf tersebut berbeza berdasarkan kesukaran penggunaannya dalam perkataan. Misalnya, nilai huruf vokal iaitu A, E, I, O dan U ialah 2 markah. Permainan ini mampu menguji daya pemikiran para pemain kerana mereka perlu memikirkan kosa kata yang terbaik berdasarkan tujuh buah jubin huruf yang diperolehi. Pemain yang hebat pastinya pemain yang mampu mencipta perkataan yang panjang (menggunakan tujuh buah jubin huruf) serta bervariasi. Kemenangan pemain disahkan melalui kiraan kutipan mata tertinggi.

Permainan tersebut mampu merapatkan hubungan sesama pemain selain bertukar-tukar pendapat semasa mencipta perkataan. Bergantung kepada pertandingan, pemain boleh mencipta perkataan daripada pelbagai bahasa sama ada bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa yang difahami antara pemain. Selalunya, pemain akan menggunakan kamus am bagi merujuk perkataan yang tidak difahami. Dari situ, pengetahuan terhadap kosa kata baru akan tercipta. Selain mempertajamkan minda pemain dengan kosa kata dalam sesuatu bahasa, pemain juga perlu mengira markah bagi setiap perkataan yang terbina. Secara tidak langsung, kecekapan pemain dalam menggunakan ilmu matematik juga meningkat.

Penguasaan kosa kata yang pelbagai adalah sangat penting terutamanya bagi individu yang bergelar pelajar sama ada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah bahkan juga pelajar di universiti. Sebagai contoh, dalam penulisan karangan bahasa Melayu, pelajar boleh mengaplikasikan pengetahuan terhadap kepelbagaian kosa kata bagi mencipta ayat yang menarik dan gramatis. Penguasaan kosa kata yang pelbagai mampu menyerikan lagi karangan yang dihasilkan. Melalui penghasilan karangan, kita pasti dapat membezakan sama ada individu tersebut seorang yang kaya kosa katanya atau tidak. Dalam pemberian markah bagi penulisan karangan, terdapat markah khas yang diperuntukkan terhadap pemakaian kosa kata yang menarik. Hal ini demikian kerana, penggunaan kosa kata yang bervariasi dianggap tinggi aras pemakaiannya

Selain dalam penulisan karangan, pengetahuan terhadap kosa kata yang pelbagai juga boleh diaplikasi dengan meluas terutamanya dalam bidang kesusasteraan. Misalnya, dalam penciptaan puisi seperti sajak, pantun dan lain-lain, ketertinggian pengetahuan terhadap kosa kata yang pelbagai ini sudah pasti mampu mencetuskan cita rasa tersendiri dalam pembinaan puisi. Perkataan yang terpilih pasti mempunyai unsur keindahan yang unik dan pastinya boleh membentuk ideolek seseorang penulis. Penyesuaian bagi pemilihan perkataan yang terbaik dalam sesuatu rangkap sajak juga pasti mampu digarap dengan cemerlang.

Dari sudut komunikasi interpersonal pula, seseorang yang berkosa kata tinggi pasti lebih yakin apabila diajak berbicara, berucap dan sebagainya. Pemilihan kata serta susunan tuturannya pasti teratur seperti Si Peguam yang sedang berbicara. Keyakinan untuk berbicara adalah sangat sukar untuk diperolehi. Walau bagaimanapun, dengan penguasaan kosa kata yang tinggi, keyakinan seseorang untuk berkomunikasi pasti akan meningkat.

Kesimpulannya, penguasaan kota kata boleh diperolehi melalui sebarang aktiviti dan pastinya sahibba merupakan salah satu permainan yang baik kerana dapat meningkatkan penguasaan kosa kata dalam sesuatu bahasa. Permainan tersebut seharusnya diaplikasi dalam kalangan pelajar di sekolah kerana faedahnya yang pelbagai. Selain bertujuan menarik minat para pelajar untuk menguasai kosa kata yang bervariasi. Pertandingan sahibba boleh dianjurkan oleh pihak sekolah selepas berakhirnya peperiksaan bagi mengelakkan pelajar terlibat dalam gejala negatif seperti ponteng sekolah, vandalisme dan sebagainya. 

“KALIMAH AKAL : SAHIBBA PENGAYA KOSA KATA”



Ahad, 6 Februari 2011

SITUASI: 10%

“PTPTN dah masuk! Cma jum kita pergi Jusco, aye nak beli kasut ni.” kataku seraya tersenyum apabila mendapati amaun dalam akaun Bank Islam aku bertambah menjadi RM2???.60. Setibanya di pasar raya itu aku berjalan sendirian mencari barang yang ingin aku beli. Dari satu kedai ke satu kedai aku masuk dan pantau seperti polis, juga bertanya kualiti, harga, dan diskaun seperti mata-mata yang sedang merisik. Nampaknya di kedai Barry aku sudah mempunyai sasaran untuk diberkas:

  Jurujual 1 : Ini kasut manyak cantik, diskaun 50%.
  Saya         : Memang cantik, tapi saya tak minatlah auntie.
  (Tiba-tiba aku terpandang sepasang kasut).
  Saya         : Ha! Yang ni ada diskaun tak auntie?
  Jurujual 1 : Itu baru punya, diskaun 10%. Boleh try lor.
  Saya         : Oh, takpe auntie. Saya tengok-tengok je dulu. 

Sememangnya jurujual 1 itu sangat peramah dalam melayan pelanggan. Selepas seketika melihat kasut-kasut di kedai itu, aku beredar ke kedai lain. Masih banyak kedai yang menjual kasut di situ serta menawarkan diskaun yang hebat, promosi sempena Raya Cina agaknya. Walau bagaimanapun, tiada satu pun kasut yang aku minati. Setelah puas membuat pemantauan, aku kembali ke kedai Barry tadi. Kali ini aku mengajak kakakku menemani untuk memberi pandangan peribadi terhadap kasut pilihan aku. 

  Jurujual 2 : Mahu cari kasut ye?
  Saya        : Ya auntie. Yang ni, ada saiz 7 tak auntie?
  Jurujual 2 : Sekejap ya dik.
  (Jurujual itu kembali bersama kasut yang aku inginkan).
  Jurujual 1 : Duduk dulu lor. Kasut tadi ah?
  Saya        : Ye auntie (Tersenyum).

Selepas beberapa ketika, jurujual 2 kembali menyusul dan membawa kasut yang bersaiz 7 seperti yang aku minta, manakala jurujual 1 beredar melayan pelanggan laindi kedai kasut itu. sememangnya pelanggan di kedai Barry memang agak ramai. Promosi sempena Raya Cina la katakan.

  Jurujual 2 : Mau cuba dulu?
  Saya         : Mestila mau auntie. Cma, cantik tak?
  Cma         : Ok jer, berapa harganya?
  Saya         : RM1**.90. Da diskaun 10%. Besar. Saiz 6 lah.

Tak lama kemudian, jurujual 2 kembali membawa kasut yang bersaiz 6.

 Jurujual 2 : Ini saiz 6.
 Saya        : Wah, yang ni saya mau. Ngam-ngam punya.

Jurujual 2 menjalankan tugasnya dengan kembali memasukkan kasut yang telah saya cuba dan yang saya pilih untuk dibeli ke dalam kotak kasut. Cma kembali kepada aku dan meminta aku belanjanya sepasang kasut. Katanya murah sahaja RM15 dan aku bersetuju. Kasut aku dan kakak ku telah dihantar ke kaunter dan aku beratur. Setibanya giliran aku, juru wang di kaunter tersebut menyebut harga. Aku agak pelik dan berasakan harganya agak mahal daripada sepatutnya. Rupa-rupanya, kasut aku tidak dipotong diskaun 10% sedangkan tadi jurujual 1 ada beritahu yang kasut itu mempunyai diskaun 10%. Juru wang itu berkata, jurujual 1 itu tidak beri diskaun jadi tiadalah. Aku tidak mahu memanjangkan pergaduhan, oleh itu aku segera membayar dan mahu berlalu pergi.

Sebelum aku berlalu, jurujual 1 sempat menyapa aku dan meminta maaf. Katanya, diskaun itu memang ada tetapi jurujual 2 itu yang tidak mahu beri. Aku menganggukkan kepala sahaja, tanda memaafkan jurujual 1 itu. belum sempat aku keluar dari pintu kedai aku dapati jurujual 1 dan jurujual 2 berbalah dengan kata. Aku tidak pasti apa-apa yang diperkatakan dan aku segera berlalu pergi.

        Kesimpulannya, ingin aku nyatakan bahawa itulah antara situasi yang sering kita alami ketika menjalankan aktiviti perniagaan. Sememangnya kita mempunyai hak untuk bersuara apabila kejadian tersebut menimpa diri. Walau bagaimanapun, haruskah aku bergaduh untuk 10% itu? Fikirku itu semua tidak perlu, mungkin peniaga itu beruntung kerana pelanggan itu adalah aku, namun jika pelanggan itu seorang yang panas baran bagaimana? Fikir-fikirkanlah apa yang bakal terjadi? Akhir sekali, peniaga tersebut haruslah memberi hak kepada pelanggan jika diskaun 10% itu telah ditetapkan. Mengapa perlu ditarik balik diskaun itu ketika ada pelanggan membeli. Bagi jurujua1, aku sememangnya memuji cara layanannya yang peramah terhadap pelanggan, tetapi tidak bagi jurujual 2 yang aku rasa kurang mesra itu. Seharusnya, pelayan di kedai tersebut perlu mempunyai komunikasi yang baik supaya tidak timbul perbalahan dalam menetapkan harga atau diskaun yang sepatutnya kerana perkara itu mampu menimbulkan kesalahahaman pembeli. Kejujuran adalah amat penting dalam urusan jual beli.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda : “Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”. Mungkin peniaga itu bukan dalam kalangan Islam, oleh itu persoalan mengenai penipuan dan riba tidak diendahkan. Walau bagaimanapun, bagi yang beragama Islam ingatlah mereka pasti akan diberi hukuman oleh Allah kerana melakukan penipuan dalam urusan jual beli.

“KALIMAH AKAL : JUJURLAH DALAM PERNIAGAAN”


SITUASI: EMOSI "RAJA"

Malam ini saya tumpang menginap di rumah seorang rakan karib iaitu Angah di Seksyen 18 Shah Alam, Selangor. Oleh sebab terlalu letih kami bercadang untuk membuat pesanan makanan dari dalam talian sahaja. Angah memberi cadangan untuk membuat pesanan McDonald’s dan saya bersetuju. Seterusnya, Angah segera mendail nombor telefon 1300-13-1300 untuk membuat pesanan. Ketika Angah sedang membuat pesanan, rakannya Rizal yang berada agak jauh berteriak dengan nadanya beremosi marah:

“Angah! Tak payah order McDonald’s. Pekerja restoran tu memang tak guna. Asyik lewat dan salah hantar pesanan je. Aku memang geram gila dengan service restoran tu. Ko buat pesanan kat restoran lain la, Pizza Hut ke?”
Teriakan tersebut sungguh kuat hingga menyapa keras gegendang telinga saya. Hampir 20minit kemudian seorang pekerja lelaki restoran itu tiba untuk menghantar makanan. Dipendekkan cerita, Angah membuka penutup cawan kertas untuk memasukkan air ke dalam bekas yang lebih besar. Alangkah terkejutnya apabila beliau mendapati terdapat beberapa ketulan kahak manusia dalam minuman yeng dipesan. Rizal berasa sungguh tercabar dan segera mengajak kami untuk pergi ke restoran tersebut, tidak dilupa minuman yang bercampur kahak tadi juga dibawa sebagai bahan bukti. Kemarahannya begitu memuncak, segala nasihat kami agar dia bersabar tidak diendahkan. Akhirnya saya dan Angah akur untuk turut serta ke restoran tersebut kerana risau memikirkan perkara yang bakal berlaku di sana nanti. Setibanya di Restoran McDonald’s tersebut adegan pertengkaran terus berlaku.

    Rizal : Siapa pengurus? Aku nak jumpa!
    Pengurus : Ye saya, ada apa yang boleh saya bantu encik?
    Rizal : Pekerja awak buang kahak dalam minuman kami!
    Pengurus : Maaf encik. Biar saya buat pemeriksaan dulu.
                    
Setelah beberapa ketika pengurus tersebut membawa seorang pekerja lelaki di restoran itu. Pekerja tersebut mengakui bahawa dia yang meludahkan kahak dalam air yang kami pesan tadi. Rizal sungguh marah dan mahu memukul pekerja tersebut, mujur sahaja saya dan Angah berjaya menahannya. Pekerja tersebut memberi alasan bahawa dia berasa sangat marah kerana terdengar suara yang mencaci pekerja di restoran itu sewaktu menerima pesanan makanan melalui pangilan telefon. Seterusnya, pekerja tersebut memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya. Sebagai tanda mohon maaf daripada pihak restoran, kami diberi ganti rugi makanan yang baru tanpa dikenakan sebarang bayaran pun.

            Berdasarkan peristiwa tersebut, saya berpendapat bahawa sebagai seorang pelanggan kita seharusnya tidak boleh menyalahgunakan kuasa kita sebagai “raja” dalam aktiviti perniagaan. Seharusnya, Rizal perlu bijak dalam mengendalikan emosinya. Saluran yang baik untuk mengatasi emosi marahnya adalah dengan mengisi borang aduan khidmat pelanggan di restoran tersebut. Pujian harus diberikan kepada pengurus restoran McDonald’s tersebut kerana bijak mengendalikan situasi tegang yang berlaku. Beliau tidak melatah sungguhpun Rizal memarahi dan mengugut pengurus tersebut untuk mengambil tindakan keras iaitu membuat aduan kepada pihak berkuasa. Bagi pekerja di restoran itu pula, seharusnya mereka bekerja dengan baik kerana tugas mereka adalah memberi khidmat yang terbaik kepada pelanggan. Herdikan dari Rizal di dalam telefon seharusnya dipandang dari sudut yang positif oleh pekerja restoran itu. Sudut positif yang dimaksudkan adalah memperbaiki kelemahan perkhidmatan yang mereka berikan kepada pelanggan.



“KALIMAH AKAL: EMOSI AKAN MEMPENGARUHI KEHIDUPAN”


SITUASI: SMS

Sememangnya pengguaan sms mampu menjimatkan masa dan kos sewaktu berurusan. SMS sering diguna dalam hal-hal harian seperti bertanya khabar, membeli barangan, meminta pertolongan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sms juga sering kali disalah guna. Kebelakangan ini kerap kali juga kita dengari sms diguna bagi tujuan yang negatif seperti menjatuhkan talak (cerai), membuat ugutan, menyebarkan fitnah dan sebagainya. Kali ini saya mahu menceritakan berkenaan kesalafahaman dalam pentafsiran mesej yang diterima.

Situasi ini berlaku pada kakak saya sendiri. Sewaktu menasihatkan saya supaya menjaga pergaulan dengan rakan-rakan agar tidak bermusuhan, beliau menceritakan pengalamannya ketika mengaji di UITM Shah Alam dahulu. Baliau yang sudah di tahun akhir, tinggal di rumah sewa, berdekatan sahaja dengan Plaza Masalam dan Masjid Besar di Shah Alam. Beliau mempunyai 7 orang rakan lain yang menginap dalam sebuah rumah sewa. Adat hidup di bumi ini, yang tua dihormati manakala yang muda dikasihi. Dipendekkan cerita satu hari, beliau menghantar sms meminta tolong kepada rakan serumahnya iaitu juniornya untuk mengangkat jemuran pakaiannya di ampaian kerana hujan turun dengan lebat. Sms tersebut berbunyi begini:

Ina ko buat apa
Hujan lebat aku xpat balik
ada x aku suruh ko angkat baju aku td

Begitulah mesej yang kakak saya berikan pada rakan serumahnya untuk meminta pertolongan. Setelah beberapa hari berlalu rakan serumahnya menceritakan Ina mengadu dengan linangan air mata dihadapannya kerana menyatakan kakak saya memarahinya. Kakak saya sungguh terkejut dan selepas bertanyakan kenapa? Barulah kakak saya sedar bahawa mesej yang dihantarnya semasa meminta pertolongan Ina pada tempoh hari telah disalah tafsir. Ina beranggapan kakak saya memarahinya dalam mesej itu. Mungkin keluarga saya berasal dari Melaka jadi terbiasa bercakap dengan agak kasar, namun dalam mesej yang dihantarkan tersebut ada perkara yang boleh mengurangkan kesalahtafsiran serta melembutkan sedikit bahasa yang dianggap agak kasar itu. Perkara yang dimaksudkan ialah penggunaan tanda bacaan.

Jika diperhatikan pada ayat pertama, Ina beranggapan bahawa kakak saya memarahinya kerana asyik duduk berehat sahaja. Sebenarnya, akak saya cuma bertanya keadaan ina pada waktu itu, adakah sibuk atau tidak? Dalam ayat kedua pula, pada pandangan Ina, kakak saya menzahirkan rasa marahnya dengan tidak balik ke rumah tetapi memberi alasan hujan lebat. Walaupun pada dasarnya dia sememangnya tidak dapat balik kerana hujan turun dengan lebat. Manakala, dalam ayat ketiga pula Ina rasa bersalah kerana mengangkat baju kakak saya di ampaian kerana mahu menjemur pakaiannya pula. Walhal, kakak saya sebenarnya cuma mahu meminta pertolongan Ina untuk mengangkat pakaian, tetapi cuba tidak menganggapnya sebagai “suruhan atau arahan” sebaliknya “pesanan”, maka kakak saya buat-buat bertanya bahawa adakah dia ada meminta pertolongan dari Ina untuk mengangkat pakaiannya jika hari hendak hujan? Pertanyaan tersebut sebenarnya bertujuan untuk mengingatkat Ina akan pesanannya sebelum keluar rumah tadi.

Sebagai pembetulan, mesej yang dihantar itu seharusnya mempunyai tanda bacaan supaya segala kata-kata tidak disalahtafsir oleh pembaca. Dalam ayat satu seharusnya terdapat tanda baca koma dan tanda soal. Dalam ayat dua pula seharusnya ada tanda koma dan noktah, manakala dalam ayat ketiga tadi perlu ada tanda soal. Selain itu, terdapat juga perkataan yang perlu ditukar supaya tidak dianggap sebagai kasar, misalnya “suruh” kepada “minta”. Begitu juga terdapat beberapa perkataan yang perlu ditambah bagi menjadikan pertanyaan lebih bersifat mesra. Contohnya:

Tafsiran Ina
Pembaikan mesej
Ina! ko buat apa?
hujan lebat aku x balik!
ada aku suruh ko angkat baju aku td!
Ina, ko sedang buat apa?
Hujan lebat ni, jadi aku x boleh balik.
ada x aku minta tolong ko angkat baju aku td?


1 mesej = 161 patah perkataan
1 mesej Celcom  ke celcom = 10 sen, jika 8pax = 1sen
1 mesej Celcom ke maxis   = 20 sen, jika active5 = 1sen

Berdasarkan pembaikan mesej di atas, saya fikir mesej yang dihantar tetap sama harganya kerana masih dalam lingkungan mesej pertama iaitu hadnya 161 patah perkataan, jadi tiada beza daripada jumlah bayaran mesej jika tanda bacaan digunakan dalam menulis mesej kerana peranannya sangat besar dalam pembinaan ayat yang baik.

Kesimpulannya, sungguhpun penggunaan bahasa singkatan menjadi pencemar kepada penggunaan bahasa, namun dengan penggunaan tanda baca yang betul kesalahtafsiran yang dapat menyapa emosi negatif pembaca SMS dapat diatasi. Sangat besar pengaruh tanda baca yang digunakan walaupun hanya sekadar tanda baca sesperti koma atau jeda (,), noktah (.), tanda soal (?) dan tanda seru (!). Hal ini demikian kerana, kesemua tanda-tanda baca tersebut mewakili nada serta ketinggian atau tona yang kita ucapkan.




 “KALIMAH AKAL : TANDA BACAAN PUNYAI PERANAN TERSENDIRI”


SITUASI: TETUANG UDARA

Tetuang udara atau kini dipanggil radio sinonim dengan wadah penyampai hiburan kepada pendengar. Walau bagaimanapun, terdapat juga stesen tetuang udara yang bersikap perihatin kepada masyarakat dengan menyediakan segmen-segmen yang dapat saya sifatkan sungguh bermanfaat, misalnya segmen belajar bacaan al-Quran dan belajar bahasa, sama ada bahasa Melayu, bahasa Inggeris juga bahasa Jepun. Sungguh saya sangat kagum dengan keperihatinan terhadap nilai sosial yang dipamerkan oleh stesen tetuang udara tersebut. Stesen tetuang udara yang saya maksudkan ialah stesen tetuang udara Pahang FM yang berfrekuensi 107.5 MHz. Kebetulan, ketika saya menukarkan ke frekuensi 107.5 MHz tersebut saya mendengar segmen mempelajari bahasa Melayu yang bertajuk penjodoh bilangan. Berikut merupakan antara contoh penjodoh bilangan:
1)      Sebuah pendapat
2)      Sebuah pandangan
3)      Sebuah kenangan
4)      Sebuah alasan
5)      Sebuah cita-cita
6)      Segulung harapan
Berdasarkan contoh di atas, pada fikiran anda adakah pengunaan penjodoh bilangan tersebut betul atau salah?

Menurut tatabahasa bahasa Melayu penggunaan penjodoh bilangan seperti contoh di atas  adalah salah. Hal ini demikian kerana, penjodoh bilangan tidak boleh digunakan bagi kata nama yang bersifat abstrak. Sebagai hujahannya, kita tidak mampu melihat kata nama yang bersifat abstrak seperti yang diperkatakan. Oleh itu, masakan kita dapat memberi penjodoh bilangan yang khusus bagi kata nama abstrak tersebut.

Berdasarkan kajian daripada pengajar segmen bahasa dalam tetuang radio tersebut, beliau perhatikan bahawa penggunaan kata nama abstrak yang disertai dengan penjodoh bilangan seperti contoh di atas sangat banyak digunakan dalam penghasilan karya sastera seperti sajak. Hal ini terjadi kerana, mungkin terdapat penulis atau penutur yang berjiwa sastera tersebut menganggap penggunaan penjodoh bilangan tersebut adalah betul di atas satu alasan iaitu sebagai keindahan bahasa dalam karya mereka. Oleh itu, mereka terdorong untuk melanggar peraturan bahasa Melayu iaitu penyalahgunaan penjodoh bilangan.

Sememangnya penggunaan contoh-contoh di atas adalah lebih indah jika diungkapkan dalam penghasilan sesebuah karya misalnya sajak, namun begitu penggunaannya adalah satu kesalahan. Oleh itu, tidak seharusnya pengkarya berusaha menghasilkan karya yang bermutu tinggi serta memberi kesan yang mendalam kepada minat dan emosi pembaca, namun dari sudut sintaksis penggunaan bahasanya adalah salah sama sekali.

Dalam satu seminar yang bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2009, Nik Safiah Karim ada menyatakan bahawa sememangnya penulis sastera diberi autoriti yang tersendiri dalam menghasilkan karya sastera, terutamanya dalam penghasilan istilah serta bahasa-bahasa yang indah. Walau bagaimanapun, mereka tidak seharusnya terus-menerus melanggar peraturan bahasa kerana kebenaran yang diberikan dalam melanggarnya adalah sangat kecil sekali iaitu 3% sahaja itu pun hanya dibenarkan jika berlaku keterpaksaan sahaja. Oleh itu, jelas bahawa penggunaan penjodoh bilangan bagi kata nama yang bersifat abstrak merupakan satu kesalahan tatabahasa dan tidak seharusnya disalahguna oleh pengkarya mahupun bukan pengkarya.

Kesimpulannya, sebagai penutur bahasa Melayu yang baik, setiap individu seharusnya mengambil serius dalam permasalahan ini. Pembaikan terhadap sesuatu kesalahan adalah sesuatu yang baik dan harus diamalkan. Oleh itu, harus diingat bahawa penjodoh bilangan tidak boleh digunakan untuk kata nama yang bersifat abtrak.


“KALIMAH AKAL: TETUANG RADIO WAHANA PENYEBARAN ILMU”